Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Argentina terselamat daripada kejutan Cape Verde, mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia
  • SUKAN

Argentina terselamat daripada kejutan Cape Verde, mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia

Utusan Sarawak 8 hours ago
PEMAIN pertahanan Argentina, Cristian Romero (13), meraikan jaringan ketiga pasukannya bersama rakan sepasukan ketika perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Cape Verde di Stadium Miami, Miami Gardens pada 3 Julai. Foto AFP

MIAMI, Amerika Syarikat: Argentina terselamat daripada kejutan besar sebelum menamatkan perjalanan penuh kejutan Cape Verde apabila jaringan ke-20 Lionel Messi di pentas Piala Dunia membantu juara bertahan itu mencatat kemenangan 3-2 selepas masa tambahan, sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik, sebentar tadi.

Sentuhan dan penyudah berkualiti Messi yang menghasilkan gol ketujuhnya dalam kejohanan ini selepas mengharungi empat perlawanan meletakkan Argentina di landasan terbaik, namun Blue Sharks enggan menyerah kalah.

Jaringan Deroy Duarte pada minit ke-60 memaksa Argentina mengerah lebih banyak tenaga daripada yang dijangkakan dalam cuaca panas dan lembap di Miami.

PEMAIN Argentina, Nicolás González (15), pemain tengah Cape Verde, Jamiro Monteiro (10), dan pemain pertahanan Argentina, Facundo Medina (25), berebut bola ketika perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Cape Verde di Stadium Miami, Miami Gardens pada 3 Julai. Foto AFP

Lisandro Martinez kembali meletakkan Argentina di hadapan pada awal masa tambahan sebelum Sidny Lopes Cabral menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang ke penjuru atas gawang.

Satu lagi sepakan penjuru Argentina akhirnya memastikan kemenangan apabila Cristian Romero melonjak tinggi untuk menanduk hantaran Messi sebelum bola terkena pertahanan Cape Verde, Diney Borges, lalu menerjah gawang sendiri.

La Albiceleste akan menentang Mesir pada Selasa di Atlanta, namun pengendalinya, Lionel Scaloni, tetap mempunyai alasan untuk berasa bimbang pada perlawanan ke-100 beliau mengendalikan pasukan kebangsaan, meskipun laluan di atas kertas dilihat memihak kepada Argentina.

KETUA jurulatih Cape Verde, Bubista, memberi reaksi selepas tewas dalam perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Cape Verde di Stadium Miami, Miami Gardens pada 3 Julai. Foto AFP

Cape Verde terlebih dahulu membuktikan kemampuan mereka apabila mengikat juara Eropah, Sepanyol, selain Uruguay dan Arab Saudi dalam aksi Kumpulan H sebelum mara ke pusingan kalah mati pada penampilan sulung di Piala Dunia.

Jurulatih Blue Sharks, Bubista, menyifatkan pertemuan dengan Messi dan juara dunia itu sebagai “perlawanan seumur hidup kami”, dan anak buahnya membuktikan kata-kata tersebut menerusi aksi penuh bersemangat yang memaksa Argentina bekerja keras sepanjang lebih 120 minit.

Kepulangan Messi ke bandar yang kini menjadi gelanggang kelabnya, Inter Miami, disambut meriah oleh hampir 65,000 penonton yang memenuhi stadium dengan lautan jersi biru muda dan putih Argentina.

Sentuhan istimewa Messi

PEMAIN Argentina, Lionel Messi (10), melakukan percubaan jaringan namun gagal menembusi gawang ketika berdepan pertahanan Cape Verde, Diney Borges (03), dan Pico Lopes (04) dalam perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Cape Verde di Stadium Miami, Miami Gardens pada 3 Julai. Foto AFP

Pada usia 39 tahun, Messi sekali lagi mempamerkan sentuhan istimewanya apabila mengawal kemas hantaran Lisandro Martinez sebelum melakukan penyudah tepat melepasi Vozinha untuk membuka jaringan.

Gol itu turut menyaksikan Messi melanjutkan rekodnya dengan menjaringkan gol dalam lapan perlawanan Piala Dunia berturut-turut, selain melebarkan jurang kepada dua gol mengatasi Kylian Mbappe dari Perancis dalam perebutan gelaran penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan itu.

Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez, hampir tidak diuji pada babak pertama, namun terpaksa melakukan satu aksi menyelamat cemerlang ketika Duarte mengancam sebaik Cape Verde tampil lebih agresif selepas waktu rehat.

PEMAIN tengah Cape Verde, Deroy Duarte (14), pemain tengah Argentina, Alexis Mac Allister (20), dan pemain tengah Cape Verde, Kevin Pina (06), berebut bola ketika perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Cape Verde di Stadium Miami, Miami Gardens pada 3 Julai. Foto AFP

Bagaimanapun, Martinez tidak berupaya menghalang gol penyamaan apabila Ryan Mendes melorongkan bola kepada Duarte yang melepaskan rembatan rendah ke penjuru jauh.

Penjaga gol Cape Verde berusia 40 tahun, Vozinha, yang menjadi sensasi media sosial selepas aksi cemerlangnya ketika menentang Sepanyol bulan lalu, sekali lagi mencuri tumpuan.

Hampir 18 juta pengikutnya di Instagram pastinya teruja apabila beliau memenangi situasi satu lawan satu dengan Messi ketika bintang Argentina itu hampir pasti menjaringkan gol kedua.

Pertahanan kelahiran Ireland, Pico Lopes, kemudian muncul wira Cape Verde apabila melakukan hadangan penting bagi menggagalkan Enzo Fernandez menyempurnakan peluang mudah hasil satu lagi gerakan Messi.

Cape Verde terus memberi tentangan

Lisandro Martinez kembali meletakkan Argentina di hadapan dua minit selepas masa tambahan bermula apabila menyambar bola hasil sepakan penjuru.

Namun, Cape Verde sekali lagi enggan mengalah apabila Lopes Cabral meledakkan antara gol tercantik kejohanan menerusi rembatan padu ke penjuru atas gawang.

KETUA jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, memerhati sebelum perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Cape Verde di Stadium Miami, Miami Gardens pada 3 Julai. Foto AFP

Pemain pertahanan itu kemudian berlari ke tempat duduk penonton untuk meraikan jaringan bersama pasangannya.

Suasana riuh yang mewarnai sebahagian besar perlawanan bertukar menjadi debaran apabila perlawanan dilihat semakin menghampiri penentuan sepakan penalti.

Scaloni akhirnya mampu menarik nafas lega apabila sepakan penjuru Messi tertampan masuk ke gawang sendiri oleh Borges, sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada Argentina.

Bagaimanapun, Argentina yang keletihan masih perlu bertahan daripada asakan bertali arus Cape Verde pada saat-saat akhir perlawanan.

Kali ini, Emiliano Martinez muncul penyelamat apabila menepis keluar satu lagi rembatan padu Lopes Cabral yang menuju ke penjuru atas gawang, sekali gus memastikan Argentina meneruskan cabaran memburu kejuaraan dunia. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Kanada
Next: Salah akui ‘terpaksa lakukannya’ selepas sepakan penalti bantu Mesir mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.