
BINTULU: Kejayaan agenda pendidikan bergantung kepada kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa, komuniti, sektor swasta dan agensi kerajaan dalam melahirkan generasi yang berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pendidikan tidak seharusnya dianggap sebagai tanggungjawab sekolah semata-mata kerana setiap pihak mempunyai peranan dalam membentuk masa depan anak-anak.
Menurut beliau, usaha memperkukuh ekosistem pendidikan juga perlu seiring dengan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) supaya generasi muda bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki pemikiran kritis, nilai etika serta mampu memanfaatkan teknologi secara bijaksana.
“Dalam memastikan agenda pendidikan terus berjaya, tanggungjawab ini tidak boleh dipikul oleh sekolah sahaja. Kejayaan pendidikan memerlukan kerjasama erat antara guru, ibu bapa, PIBG, komuniti, sektor swasta dan agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Libat Urus (SLU) Pengurusan Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu Tahun 2026 di Auditorium Wisma Bintulu di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Johnny turut mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada PPD Bintulu bagi menyokong pelaksanaan program-program pendidikan di daerah tersebut.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata, penganjuran sesi libat urus itu bertujuan memberi penjelasan secara terus kepada masyarakat mengenai pelaksanaan dasar baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut beliau, tiga agenda utama yang diketengahkan adah peluasan akses pendidikan prasekolah, pemerkasaan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu mulai 2027.
“Kita menganjurkan sesi libat urus ini supaya ia menjadi medan untuk memberi penerangan yang tepat, jelas dan bersumberkan dasar Kementerian Pendidikan supaya masyarakat memahami rasional pelaksanaan tiga agenda besar ini,” katanya.
Menurut Samri, PPD Bintulu juga bersedia mengadakan sesi penerangan di peringkat komuniti sekiranya dijemput oleh ketua masyarakat dan ketua kaum bagi memastikan maklumat berkaitan dasar pendidikan dapat disampaikan dengan lebih meluas.
Oleh Carolyne Utih