
NEW YORK: Taylor Swift dan Travis Kelce menyumbang AS$26 juta kepada 20 badan amal menjelang majlis perkahwinan mereka, lapor PA Media/dpa.
Wakil penyanyi pop itu mengesahkan pasangan berkenaan, yang dijadual berkahwin di Madison Square Garden pada malam Jumaat, telah membuat sumbangan besar itu.
Sebanyak 20 badan amal menerima sumbangan itu termasuk sembilan bank makanan, sebuah pertubuhan kebajikan haiwan, tujuh program pendidikan dan tiga hospital kanak-kanak.
Antara badan amal yang menerima sumbangan itu ialah City Harvest, Food Bank For NYC, New York Cares, Los Angeles Regional Food Bank, Harvesters – The Community Food Network, The Store, Helping Harvest, Rhode Island Community Food Bank, Feeding America dan ASPCA.
Penerima lain termasuk Dolly Parton’s Imagination Library, Grammy In The Schools, Education Through Music, Answer The Call, Musical Mentors serta After-School All-Stars di New York dan Cleveland.
Turut menerima sumbangan ialah MSK Kids, iaitu program kanser pediatrik di Memorial Sloan Kettering Cancer Centre, Hassenfeld Children’s Hospital di NYU Langone dan Children’s Mercy Hospital.
Walaupun jumlah sumbangan bagi setiap penerima tidak didedahkan, City Harvest di New York memaklumkan pihaknya menerima “sumbangan berjumlah AS$1 juta” daripada pasangan itu.
Rhode Island Community Food Bank turut berterima kasih atas sumbangan luar biasa dan tidak dijangka daripada pasangan berkenaan.
Kerajaan tempatan New York memberikan sedikit sahaja butiran mengenai perancangan majlis perkahwinan itu, termasuk kesannya terhadap perniagaan tempatan dan pengangkutan, memandangkan lokasi majlis terletak di atas Penn Station.
Pada sidang media Rabu, Datuk Bandar New York Zohran Mamdani ketika menjawab soalan mengenai majlis itu berkata: “Kami bersedia sepenuhnya, tiada perkara lain yang boleh dikongsikan setakat ini.”
Pesuruhjaya Polis New York Jessica Tisch turut mengulas mengenai majlis itu pada Rabu.
“Saya tidak mahu terlepas untuk menyebut satu acara yang sedang kami pantau di Madison Square Garden pada malam Jumaat.
“NYPD sudah tentu akan menempatkan anggota bertugas, namun saya tidak akan memperincikannya pada masa ini,” katanya.
Swift menjadi tumpuan media pada Ogos selepas mengumumkan pertunangannya dengan pemain Kansas City Chiefs itu menerusi hantaran bersama di Instagram yang berbunyi: “Guru Bahasa Inggeris anda dan guru gim anda akan berkahwin.” – Bernama