

SARATOK: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 4.2 meter dengan anggaran berat 20 kilogram yang ditemui bersembunyi di bawah sebuah kereta buruk di Taman Muhibbah, semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 8.20 malam sebelum tiga anggota Skuad Bravo digerakkan ke lokasi dua minit kemudian.
Beliau berkata pasukan berkenaan tiba di lokasi pada 8.26 malam selepas menempuh perjalanan kira-kira tiga kilometer bagi menjalankan operasi menangkap reptilia tersebut.
Menurutnya, pengadu memaklumkan terlihat kelibat seekor ular berada di bawah kereta buruk miliknya sebelum menghubungi APM Saratok bagi mendapatkan bantuan segera.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota mengesahkan terdapat seekor ular sawa batik berada di bawah kenderaan seperti dilaporkan pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi itu melibatkan tiga anggota Skuad Bravo iaitu Prebet Domsen Enggul Mota, Prebet Fakhrullah Azhad Daud dan Prebet Muhammad Zul Sidi.
Katanya, pasukan menggunakan peralatan khas termasuk penyepit ular, penjerut ular, lampu suluh, sarung tangan keselamatan serta kotak khas bagi memastikan operasi dijalankan dengan selamat.
Nur Athirah berkata ular sawa batik itu berjaya ditangkap menggunakan teknik menjerut tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang operasi berkenaan.
Operasi yang selesai pada 8.41 malam itu berakhir dengan reptilia berkenaan berjaya dipindahkan oleh anggota APM, sekali gus menghapuskan ancaman kepada penduduk di kawasan Taman Muhibbah.
Oleh Adi Safarman