
ATLANTA, Georgia: Jurulatih England, Thomas Tuchel, menyeru semua penyokong pasukan itu supaya mengutamakan bola sepak berbanding persekolahan apabila England menentang Mexico dalam pusingan 16 terakhir Piala Dunia pada Isnin depan, 8.00 pagi (waktu Malaysia) lapor PA Media/dpa.
Kemenangan ke atas Republik Demokratik Congo awal pagi tadi mengesahkan pertemuan England dengan salah satu tuan rumah bersama, Mexico, di Bandar Raya Mexico. Namun, waktu sepak mula perlawanan yang berlangsung dijangka menjejaskan jumlah penonton televisyen kerana kebanyakan peminat berada dalam waktu tidur serta hari tersebut juga jatuh pada hari bekerja dan persekolahan.
Sebelum ini, menjadi kebiasaan pihak sekolah dan majikan membenarkan perlawanan England pada peringkat kalah mati kejohanan utama ditayangkan sekiranya bertembung dengan waktu bekerja atau persekolahan. Namun, aksi yang bermula pada pagi Isnin kali ini memberikan cabaran yang berbeza.
“Tulis surat kepada pihak sekolah untuk memberikan alasan dan biarkan mereka menonton bola sepak,” rayu Tuchel selepas dua gol lewat Harry Kane membantu England melepasi pusingan 32 terakhir di Atlanta.
“Ayuh. Banyak lagi masa untuk ke sekolah, tetapi Piala Dunia hanya berlangsung setiap empat tahun sekali. Biarkan mereka menonton.
“Kami akan menghadapi satu lagi perlawanan yang amat besar dalam tempoh empat hari dan kami memerlukan sokongan semua orang, terutamanya kanak-kanak,” katanya.
England sebelum itu hampir mengalami antara penyingkiran paling memalukan dalam sejarah Piala Dunia selepas ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Brian Cipenga, yang beraksi dalam divisyen kedua Sepanyol.
Bagaimanapun, mereka diselamatkan oleh dua gol lewat daripada Kane, sekali gus mengatur pertemuan sengit menentang salah satu tuan rumah bersama, Mexico, di Stadium Azteca yang terletak pada altitud tinggi. — Bernama