
KUCHING: Kejohanan Pickleball Antarabangsa Borneo Ke-2 (BPIT2026) bakal kembali berlangsung dari 7 hingga 12 Oktober depan di PIKABOL MALAYSIA dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM80,000.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan itu dijangka menghimpunkan hampir 500 pemain serta kira-kira 1,500 pengunjung dan penonton, menjadikan jumlah kehadiran mencecah sekitar 2,000 sepanjang enam hari penganjurannya.
Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, berkata, BPIT yang diperkenalkan pada 2024 sebagai kejohanan pickleball berpasukan terbesar di Malaysia dan Borneo terus berkembang menjadi antara pertandingan utama sukan itu di rantau ini.
“Pertumbuhan sukan pickleball di Sarawak sejak beberapa tahun lalu amat memberangsangkan. Apa yang bermula sebagai sukan baharu kini berkembang menjadi komuniti yang aktif dan inklusif.

“Kerajaan Sarawak mengalu-alukan penganjuran BPIT2026 kerana ia bukan sahaja memperkukuh penyertaan sukan dan pembangunan bakat, malah menyokong pelancongan sukan serta mengangkat Sarawak sebagai destinasi utama pickleball di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran BPIT2026 di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, kejohanan itu akan mempertandingkan kategori berpasukan dan individu membabitkan pelbagai peringkat umur serta tahap kemahiran.
Katanya, acara berpasukan akan disertai 24 pasukan yang bersaing dalam lima kategori iaitu Perseorangan Terbuka Lelaki, Beregu Terbuka Lelaki, Beregu Terbuka Wanita, Beregu Veteran Lelaki (50 tahun ke atas) dan Beregu Campuran Terbuka dengan jumlah umur pasangan 90 tahun ke atas.
“Bagi kategori individu pula, pertandingan akan diadakan dalam acara Beregu Terbuka Lelaki, Beregu Terbuka Wanita, Beregu Veteran Lelaki dan Beregu Campuran,” ujarnya.
Beliau menambah, juara kategori berpasukan akan membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta trofi dan pingat, manakala juara bagi setiap kategori individu menerima RM3,000 selain trofi dan pingat.
Abdul Karim berkata, penganjuran kejohanan berkenaan turut menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menerusi pengukuhan pelancongan sukan yang mampu merangsang ekonomi tempatan serta memberi manfaat kepada sektor perniagaan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memuji usaha Persatuan Pickleball Kuching (KPA) dan OCI TerraSus yang akan menganjurkan Kejohanan Pickleball Remaja Tertutup OCI–Sarawak 2026 pada 26 dan 27 September ini sebagai platform mencungkil bakat baharu.
Sementara itu, Presiden KPA yang juga Pengerusi Penganjur BPIT2026, Ruslan Bujang berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertandingan, malah menjadi medium menyatukan pemain, kelab dan komuniti dalam memacu perkembangan sukan pickleball di rantau ini.
Beliau berkata, kempen Road to BPIT2026 akan dilancarkan pada 4 Julai ini bersempena program Ngiling Bidai Bersama Komuniti 2026 di PIKABOL MALAYSIA dengan penglibatan 15 kelab pickleball berdaftar serta lebih 50 kelab sosial dan komuniti.
Dalam pada itu, Pengarah Utama Bahagian Sumber Manusia dan Kelestarian OCI TerraSus, Dr. Kim Soo Yeon berkata, syarikat itu berbangga menjadi penaja strategik eksklusif BPIT2026 kerana percaya sukan mampu menyatukan masyarakat, menggalakkan gaya hidup sihat serta membentuk nilai ketahanan, disiplin dan kerjasama.
Orang ramai yang berminat menyertai kejohanan berkenaan boleh membuat pendaftaran yang kini dibuka menerusi platform rasmi pickleball.global.
Oleh Shikin Mahmud