
SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas rokok dan minuman keras disyaki tidak berkastam bernilai RM1.21 juta termasuk duti dan cukai dalam empat serbuan di sekitar Sibu pada 5 dan 6 Jun lalu.
Pengarah JKDM Sarawak Datuk Norizan Yahya berkata, operasi yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Sibu dan Stesen Sarikei itu berjaya membongkar kegiatan penyimpanan barangan seludup di beberapa rumah tidak berpenghuni.
Menurutnya, rampasan terbesar melibatkan 490,000 batang rokok dan 16,751.76 liter minuman keras yang ditemukan dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong Rantau Panjang pada 6 Jun.
“Nilai keseluruhan rampasan bagi kes itu dianggarkan RM812,986.71 termasuk duti dan cukai,” katanya pada sidang media di Sibu, hari ini.
Beliau berkata, tiga lagi serbuan masing-masing dilakukan di Lorong Lilin, Lorong Quarry dan Lorong Ulu Sungai Merah, dengan semua lokasi dipercayai dijadikan tempat penyimpanan sementara sebelum barangan berkenaan diedarkan ke pasaran.
“Secara keseluruhan, serbuan di Lorong Lilin menemukan 7,184.64 liter minuman keras bernilai RM189,154.11, manakala serbuan di Lorong Quarry merampas 7,286.40 liter minuman keras bernilai RM189,655.88.
“Sementara itu, serbuan di Lorong Ulu Sungai Merah membawa kepada rampasan 855.36 liter minuman keras dengan nilai keseluruhan RM22,263.95,” tambahnya.
Norizan berkata, modus operandi sindiket adalah menggunakan rumah kediaman yang tidak berpenghuni sebagai stor penyimpanan sebelum barangan tersebut diedarkan untuk dijual di sekitar kawasan.
Beliau berkata, semua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan import.
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000, mengikut mana yang lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, mengikut mana yang lebih tinggi, atau dipenjarakan antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada JKDM melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran, sambil memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Oleh Tarani Lanting