
NEW YORK: Kos kawalan keselamatan bagi majlis perkahwinan penyanyi terkenal, Taylor Swift, dengan pemain Amerika NFL, Travis Kelce, dilaporkan boleh mencecah lebih AS$160,000 (kira-kira RM680,000), menurut portal hiburan TMZ.
Memetik sumber kanan Jabatan Polis New York (NYPD), TMZ melaporkan pihak polis sedang membuat persiapan untuk menempatkan puluhan detektif dan anggota polis di dua acara yang dikatakan berlangsung di Madison Square Garden (MSG), iaitu sesi raptai pada Khamis dan majlis perkahwinan pada Jumaat.

Laporan itu mendakwa lebih 70 detektif dari beberapa balai polis di seluruh New York City dijangka bertugas sepanjang dua acara berkenaan. Mereka dikatakan akan bekerja syif selama 8.5 jam dengan kadar bayaran antara AS$80 hingga AS$90 sejam (kira-kira RM350 hingga RM400), menjadikan anggaran kos melebihi AS$95,000 (sekitar RM417,000).
Selain itu, lebih 50 anggota polis lain dilaporkan akan ditempatkan di sekitar Madison Square Garden bagi mengawal keselamatan dan pergerakan orang ramai. Kebanyakan mereka dikatakan anggota baharu yang akan bekerja selama sembilan jam dengan kadar bayaran sekitar AS$70 sejam (RM310), membabitkan kos tambahan dianggarkan AS$63,000 (RM276,000).
TMZ turut mendakwa pegawai kanan NYPD akan terbabit dalam operasi berkenaan, sekali gus menjadikan keseluruhan kos kawalan keselamatan polis dianggarkan melebihi AS$160,000. Bagaimanapun, perancangan penugasan itu masih boleh berubah.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada kos berkenaan akan ditanggung oleh pembayar cukai atau dibiayai secara persendirian sebagai sebahagian daripada pengurusan keselamatan majlis. Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai perkara itu.
Laporan terdahulu turut menyebut anggota polis di kawasan berkenaan sudah dimaklumkan mengenai kemungkinan kehadiran ramai peminat Taylor Swift, atau dikenali sebagai Swifties, sekiranya majlis itu benar-benar diadakan di MSG.
Madison Square Garden terletak di atas Penn Station, antara hab pengangkutan paling sibuk di Amerika Syarikat. Kehadiran orang ramai dalam jumlah besar dijangka meningkatkan cabaran kawalan keselamatan dan pengurusan trafik di kawasan berkenaan.
Sehingga kini, Taylor Swift dan Travis Kelce belum mengesahkan laporan mengenai tarikh atau lokasi majlis perkahwinan mereka. – AGENSI