
PETRA JAYA: Larian Antarabangsa Rimbun Sematan 2026 dijangka menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta dari dalam dan luar negara, sekali gus menjadi antara acara larian pantai terbesar di Sarawak serta memperkukuh kedudukan Sematan sebagai destinasi pelancongan sukan dan eko-pelanancongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, acara yang dijadualkan berlangsung pada 6 September di Pantai Sematan itu bukan sekadar platform sukan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Menurut beliau, penyertaan yang disasarkan melibatkan peserta dari seluruh Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam, Kalimantan, Indonesia, serta beberapa negara ASEAN dan negara lain.
“Acara ini dijangka menjadi antara larian pantai terbesar di Sarawak, di samping membantu mempromosikan Sematan dan Lundu sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai keunikan tersendiri.
“Kehadiran peserta dan pengunjung juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha hotel, inap desa, restoran, gerai makanan, pengusaha pelancongan, serta peniaga kecil tempatan,” katanya pada sidang media Larian Antarabangsa Rimbun Sematan 2026, hari ini.
Beliau berkata, penganjuran acara oleh Rimbun Group merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam memperkasakan sukan komuniti, pelancongan, dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sarawak.
Menurut beliau, pihak penganjur turut berhasrat menjadikan Larian Antarabangsa Rimbun Sematan sebagai acara tahunan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata, acara berkenaan turut membawa misi kebajikan menerusi konsep larian amal, apabila sebahagian hasil program akan disalurkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak bagi menyokong usaha pemuliharaan penyu serta kepada Pusat Dialisis Lundu bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan berterusan.
“Peserta bukan sahaja berlari demi kesihatan, malah secara tidak langsung turut menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar dan kebajikan komuniti,” ujarnya.
Bagi menarik lebih ramai penyertaan, katanya, pihak penganjur menawarkan sebuah Proton e.MAS 5 sebagai hadiah utama cabutan bertuah, sekali gus antara hadiah terbesar yang pernah ditawarkan dalam acara larian komuniti di Sarawak.
Beliau yakin tawaran tersebut mampu meningkatkan jumlah penyertaan daripada pelari tempatan dan luar negara.
Larian Antarabangsa Rimbun Sematan 2026 menawarkan tiga kategori, iaitu 21 kilometer (Separuh Maraton Antarabangsa), 10 kilometer (Larian Kompetitif), dan lima kilometer (Larian Santai).
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam acara itu yang disifatkan bukan sahaja mampu menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah berpotensi menjadi produk pelancongan sukan ikonik Sarawak pada masa hadapan.
Oleh Shikin Mahmud