
PETRA JAYA: Seorang lelaki berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen 2 Kuching atas pertuduhan melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.
Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Kesalahan itu dipercayai dilakukan di sebuah rumah di Taman Malihah, Kuching pada 16 Jun lalu kira-kira 6.25 petang.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Iris Awen Jon di Mahkamah Sesyen 2 Kuching, dekat sini semalam.
Tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan lima sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula semalam, iaitu tarikh hukuman dijatuhkan.
Lelaki itu kini menjalani hukuman di Penjara Puncak Borneo bagi menjalani tempoh pemenjaraan yang ditetapkan oleh mahkamah.
Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak bagi memastikan golongan itu mendapat perlindungan sewajarnya mengikut undang-undang.
Oleh Adi Safarman