
SEOUL: Korea Selatan akan melaksanakan teknologi pengecaman wajah bermula bulan depan sebagai langkah memperkukuh proses penentusahan identiti semasa pendaftaran telefon bimbit, umum kerajaan pada Selasa lapor Agensi Berita Yonhap.
Kementerian Sains, Teknologi Komunikasi dan Maklumat mendedahkan pelan itu dalam satu taklimat di Seoul, yang merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas bagi mencegah aktiviti haram, termasuk kecurian identiti mudah alih apabila mendaftar nombor telefon bimbit baharu.
Bermula Isnin, pelanggan yang mendaftar nombor telefon bimbit baharu boleh memilih sama ada mahu menggunakan pengecaman wajah atau bentuk pengenalan diri lain yang diluluskan kerajaan, seperti sijil pendaftaran pemastautin, untuk mengesahkan identiti mereka.
Kementerian itu memaklumkan bahawa kaedah pengecaman wajah dijadikan sebagai pilihan berikutan kebimbangan mengenai pelanggaran hak asasi.
Data imej wajah mentah akan dipadamkan serta-merta selepas proses pengesahan selesai bagi mencegah potensi kebocoran data, kata kementerian itu.
Kerajaan merancang untuk memperluas skop pilihan pengesahan identiti di samping menyemak semula undang-undang berkaitan menjelang Oktober ini, bagi mewujudkan asas undang-undang untuk memperkenalkan perkhidmatan pengecaman wajah.
Tahun lepas, kementerian berkenaan mengumumkan pelan untuk mewajibkan pengecaman wajah bagi pendaftaran telefon bimbit baharu, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang awam susulan siri pencerobohan data dalam kalangan syarikat mudah alih tempatan.
Pihak berkuasa perlindungan data negara dan hak asasi manusia menyifatkan rancangan itu kekurangan asas undang-undang yang kukuh dan boleh melanggar hak asasi orang ramai. – Bernama