Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak tuntut 70 peratus hasil cukai karbon, peranan Borneo sebagai penyimpan karbon negara perlu diiktiraf
  • SEMASA

Sarawak tuntut 70 peratus hasil cukai karbon, peranan Borneo sebagai penyimpan karbon negara perlu diiktiraf

Utusan Sarawak 5 hours ago
ABANG Johari  berucap pada majlis Makan Malam Gala Gawai-Kaamatan Bersama Ke-17 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun (KCCI) di Kompleks UNIFOR, malam tadi. Foto UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa wilayah Sabah dan Sarawak wajar menerima sekurang-kurangnya 70 peratus daripada hasil kutipan cukai karbon sekiranya mekanisme tersebut dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan bahawa tuntutan tersebut adalah sejajar dengan peranan kedua-dua wilayah sebagai penyimpan utama karbon negara.

Menurut beliau, keluasan hutan hujan tropika dan kawasan paya bakau di Sabah serta Sarawak merupakan aset strategik negara yang berfungsi dalam menyerap karbon dan menyokong agenda global menangani perubahan iklim.

Beliau menegaskan bahawa negeri yang memelihara sumber karbon negara perlu menerima manfaat sewajarnya bagi memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar, membangunkan teknologi hijau, serta melaksanakan agenda pembangunan mampan.

“Jika Kerajaan Persekutuan melaksanakan cukai karbon, sekurang-kurangnya 70 peratus daripada hasil kutipan itu perlu dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak kerana kita memelihara hutan yang menjadi penyerap karbon,” ujar beliau ketika berucap pada majlis Makan Malam Gala Gawai-Kaamatan Bersama Ke-17 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun (KCCI) di Kompleks UNIFOR, malam tadi.

Abang Johari menjelaskan bahawa Sarawak telah mengambil langkah awal dengan menggubal undang-undang berkaitan karbon bagi membolehkan negeri ini membangunkan ekonomi karbon secara tersusun dan sistematik.

Pendekatan ini bukan sahaja meletakkan Sarawak di barisan hadapan pembangunan ekonomi hijau, malah memperkukuh kedudukan negeri dalam pasaran karbon global selaras dengan prinsip kelestarian.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan keperluan bagi Sarawak dan Sabah untuk terus memperkukuh kerjasama dalam memperjuangkan kepentingan bersama mengenai dasar karbon negara.

Hal ini bagi memastikan sebarang manfaat ekonomi yang terhasil daripada sumber semula jadi di kedua-dua wilayah dapat dikembalikan secara adil dan dilaksanakan secara inklusif tanpa menjejaskan khazanah alam Borneo.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang, Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, serta para tetamu kenamaan yang lain.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: 17 kerusi DUN Sarawak: Peluang pelaksanaan sebelum PRN semakin tipis

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.