Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Konvoi subuh ubah persepsi terhadap komuniti penunggang motosikal
  • Utara
  • WILAYAH

Konvoi subuh ubah persepsi terhadap komuniti penunggang motosikal

Utusan Sarawak 8 hours ago
HAMPIR 300 peserta dari Bintulu dan kawasan sekitar menyertai Program Ride Subuh Mahabbah 1.0 yang menggabungkan aktiviti permotoran, pengisian kerohanian dan ukhuwah komuniti di Masjid Daerah Tatau.

TATAU: Bagi kebanyakan penunggang motosikal, konvoi merupakan aktiviti yang mengeratkan persahabatan. 

Namun bagi komuniti rider di Bintulu, Ride Subuh Mahabbah 1.0 membawa makna yang lebih besar apabila menggabungkan minat terhadap dunia permotoran dengan pengisian kerohanian.

Idea penganjurannya tidak lahir di Bintulu. Sebaliknya, ia muncul apabila si pencetus idea, Awangku Abdul Rahman Awang Marajaya atau lebih dikenali sebagai Aman Boy, menyertai satu program konvoi ketika berada di Kuala Lumpur.

PESERTA Ride Subuh Mahabbah 1.0 bergambar kenangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee dan kepimpinan Bintulu Motorsport Club di Masjid Daerah Tatau.

Melihat ratusan penunggang motosikal berkumpul dan bersama-sama menunaikan solat berjemaah meninggalkan kesan mendalam kepadanya. 

Pengalaman itu kemudian menjadi inspirasi untuk mewujudkan program seumpamanya di Bintulu.

“Saya balik terus hubungi kawan-kawan. Alhamdulillah, hampir 300 rider menyertai program ini termasuk dari luar Bintulu. 

KONVOI sekitar 300 penunggang motosikal memulakan perjalanan pulang ke Bintulu selepas selesai Program Ride Subuh Mahabbah 1.0 di Masjid Daerah Tatau.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, Ride Mahabbah akan diteruskan lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak sebaik konvoi tersebut tiba di Masjid Daerah Tatau di sini, hari ini.

Hasrat itu akhirnya direalisasikan menerusi penganjuran Ride Subuh Mahabbah 1.0 oleh Bintulu Motorsport Club dengan kerjasama Masjid At-Taqwa. 

Program berkenaan menghimpunkan hampir 300 penunggang motosikal yang memulakan konvoi dari Bintulu sebelum tiba di Masjid Daerah Tatau untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

Bagi Presiden Bintulu Motorsport Club, Haji Awang Haikal Pengiran Salleh, kejayaan program itu bukan diukur pada jumlah motosikal yang menyertai konvoi, sebaliknya disiplin serta kerjasama yang ditunjukkan oleh semua peserta.

Beliau berkata, kelancaran perjalanan dari awal hingga akhir membuktikan komuniti rider mampu menganjurkan aktiviti yang teratur serta mematuhi peraturan jalan raya.

“Alhamdulillah semua rider mengikut apa yang kita rancang dan ada juga peserta yang datang dari luar. Insya-Allah tahun depan kita adakan lagi Ride Subuh Mahabbah 2.0,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, program seperti Ride Subuh Mahabbah membuka ruang kepada golongan belia memanfaatkan minat terhadap dunia permotoran secara lebih positif.

Menurut beliau, penglibatan dalam kelab-kelab permotoran bukan sahaja membentuk disiplin, malah mewujudkan hubungan mentor dalam kalangan ahli yang berpengalaman untuk membimbing generasi muda, sekali gus mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat.

Lebih daripada sekadar sebuah konvoi, Ride Subuh Mahabbah menjadi simbol bahawa komuniti rider juga mampu memainkan peranan sebagai agen penyatuan masyarakat, membina sahsiah belia dan menyebarkan nilai-nilai murni melalui minat yang dikongsi bersama.

Oleh Carolyne Utih

Continue Reading

Previous: RTP lulus RM100,000 naik taraf padang futsal Kampung Sungai Buluh
Next: Tular dakwaan letupan di laut Miri, punca sebenar masih belum dipastikan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.