Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Eksklusif: Had subsidi 200 liter sebulan tidak cerminkan realiti pengguna Sarawak
  • SEMASA

Eksklusif: Had subsidi 200 liter sebulan tidak cerminkan realiti pengguna Sarawak

Utusan Sarawak 4 hours ago
PROGRAM subsidi bersasar bahan api di bawah inisiatif BUDI MADANI, yang menetapkan had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan bagi pembelian subsidi diesel atau RON95.

KUCHING: Had subsidi bahan api sebanyak 200 liter sebulan dilihat tidak mencerminkan realiti penggunaan sebenar bagi sebahagian rakyat di Sarawak, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja, mengusahakan kebun atau berulang-alik merentasi jarak yang jauh.

Tinjauan Utusan Sarawak di media sosial mendapati ramai pengguna berkongsi pengalaman bahawa kuota tersebut habis digunakan dalam tempoh singkat, terutama bagi penduduk luar bandar dan mereka yang kerap melakukan perjalanan antara daerah.

Seorang pengguna aplikasi Facebook, Victor Lian Munan, membuat luahan pada ruangan komen hantaran Utusan Sarawak bahawa perjalanan dari Bario ke Miri dan kembali ke Bario sekali seminggu memerlukan kira-kira 150 liter diesel bagi mengambil bekalan keperluan.

“Dalam tempoh sebulan, penggunaan diesel bagi tujuan itu sahaja sudah melebihi 300 liter memandangkan jarak perjalanan mencecah lebih 400 kilometer,” tulisnya pada ruangan komen.

Bagi pengguna aplikasi Facebook, Ucu Akik Janang pula, perjalanan ulang-alik antara Bintulu dan Miri setiap minggu untuk bekerja serta menguruskan kebun keluarga memerlukan sekitar 70 hingga 80 liter diesel bagi setiap perjalanan pergi dan balik.

Jelasnya, penggunaan bulanan bagi perjalanan tersebut sahaja dianggarkan sekitar 300 liter, belum termasuk kegunaan harian.

Dalam masa sama, pengguna aplikasi Facebook, Ahimahim Rashid berpendapat kuota 200 liter tidak mencukupi bagi pengusaha kebun kecil, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan bergantung kepada kenderaan untuk menjalankan aktiviti harian.

Seorang lagi pengguna, Jinggo Jingga, menyatakan bahawa beliau memandu kira-kira 180 kilometer sehari untuk bekerja dan menganggarkan penggunaan sekitar 18 liter bahan api sehari, menjadikan keperluan bulanannya jauh melebihi had subsidi yang dicadangkan.

Turut dikongsi pengguna Facebook, Josh Madixx Didi, yang berpendapat isu kecukupan subsidi bukan hanya melibatkan diesel, malah turut memberi kesan kepada pengguna petrol yang mempunyai corak penggunaan tinggi.

Sementara itu, pemandu Grab sepenuh masa, Isajepun, 58, ketika dihubungi Utusan Sarawak berkata kuota subsidi sebanyak 200 liter juga tidak mencukupi bagi mereka yang menjadikan perkhidmatan e-hailing sebagai sumber pendapatan utama.

Beliau yang memandu GrabCar, GrabFood dan GrabMart menjelaskan bahawa kuota itu lazimnya habis dalam tempoh dua hingga tiga minggu, menyebabkan pemandu terpaksa membeli bahan api pada harga tanpa subsidi untuk meneruskan operasi sehingga hujung bulan.

“Grab menyediakan laluan untuk mendapatkan tambahan kuota subsidi sehingga 600 liter, namun pemandu perlu melengkapkan sekurang-kurangnya 3,000 kilometer perjalanan Grab dalam tempoh sebulan.

“Perjalanan 3,000 kilometer itu hanya dikira bagi tugasan Grab sahaja dan tidak termasuk perjalanan peribadi.

“Pemandu sepenuh masa mungkin boleh mencapainya, tetapi bagi pemandu sambilan, syarat itu agak sukar dipenuhi,” luahnya.

Perkongsian itu menggambarkan bahawa keperluan penggunaan bahan api sebenar dalam kalangan sebahagian pengguna di Sarawak berbeza mengikut jarak perjalanan dan jenis pekerjaan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kesesuaian had subsidi sedia ada.

Untuk rekod, hantaran Utusan Sarawak sebelum ini mengenai isu subsidi bahan api turut menerima pelbagai reaksi daripada netizen di ruangan komen, yang rata-rata berkongsi pengalaman penggunaan bahan api harian yang dianggap melebihi had subsidi tersebut.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan pelaksanaan program subsidi bersasar bahan api di bawah inisiatif BUDI MADANI, yang menetapkan had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan bagi pembelian subsidi diesel atau RON95.

Dasar berkenaan diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada Jun 2026 dan dilaksanakan secara nasional bermula 1 Julai 2026, dengan tujuan memastikan subsidi hanya dinikmati oleh pengguna yang layak berdasarkan penggunaan sebenar, termasuk fleksibiliti penggunaan antara diesel dan petrol.

Oleh Masrin Affirah

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sarawak masih tunggu keputusan Kementerian Kewangan mengenai formula geran khas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.