
MARUDI: Dianggarkan lebih 500 umat Katolik Gereja Good Shepherd Marudi menghadiri Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2026 yang berlangsung di Dewan Paroki Gereja Good Shepherd Marudi di sini, malam tadi.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil.
Menurut beliau, penganjuran majlis itu menjadi landasan penting dalam mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di daerah berkenaan, selain menjadi platform untuk berkongsi pengalaman antara satu sama lain.
“Ia juga menjadi ruang untuk kita berkumpul dan berkongsi pengalaman di mana sahaja kita bertugas,” katanya.

Dalam pada itu, Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi menegaskan bahawa perpaduan kaum merupakan asas penting sama ada dalam institusi gereja mahupun dalam pembangunan sesebuah kawasan.
Menurut beliau, tanpa perpaduan, hubungan antara kaum boleh terjejas dan berpecah belah, justeru usaha memupuk perpaduan melalui penganjuran acara kebudayaan perlu diteruskan.
“Perpaduan juga menjadi tonggak dalam mengukuhkan hubungan setia kawan serta mewujudkan kesepakatan bagi mencapai kejayaan dan kemajuan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat di daerah ini agar tidak terpengaruh dengan janji kosong pihak tidak bertanggungjawab yang hanya banyak berjanji tanpa pelaksanaan jelas.
Katanya, rakyat juga perlu mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan hasutan yang boleh menjejaskan pembangunan setempat, ketika kerajaan sedang giat melaksanakan pelbagai projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan Miri-Marudi, Marudi-Mulu dan Long Panai-Long Lama.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Parish Pastoral Council (PPC) Gereja Good Shepherd Marudi atas kejayaan menganjurkan majlis tersebut.
Turut hadir, isteri beliau Datin Monica Ukong Jaya, Rev. Father Philip Empallah, Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang, Pengerusi PPC Gereja Good Shepherd Marudi Daniel Tallip serta Ketua Masyarakat Iban Marudi, Pemanca Randie Bundan.
Oleh Jiku Juguong