
ATLANTA, Amerika Syarikat: Yoane Wissa meledak dua gol untuk membantu Republik Demokratik Congo (DR Congo) menewaskan Uzbekistan 3-1 sekali gus melayakkan diri ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah mereka, sebentar tadi.
Mereka akan menentang England selepas mencatat kemenangan sulung dalam sejarah Piala Dunia.
Uzbekistan bermula garang apabila Eldor Shomurodov melakukan jaringan lob melepasi Lionel Mpasi untuk meletakkan mereka di depan di Atlanta.
Namun penyerang Newcastle, Wissa menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum jaringan Fiston Mayele mencetuskan kegembiraan penyokong DR Congo yang memenuhi stadium.
Wissa kemudian melengkapkan malam bersejarah itu dengan jaringan cantik pada masa kecederaan untuk gol ketiganya dalam kejohanan tersebut.
Uzbekistan sudah mengetahui sebelum perlawanan bahawa peluang mereka untuk mara hampir tertutup kerana perbezaan jaringan yang besar diperlukan untuk layak.
Bagaimanapun, legenda Itali Fabio Cannavaro menegaskan kepentingan meraih kemenangan sebagai warisan pada penampilan pertama mereka di Piala Dunia, dan pasukannya bermula dengan agresif.

Shomurodov menjaringkan gol seawal 30 saat, namun dibatalkan kerana ofsaid.
Penyerang itu akhirnya memperoleh detik kegembiraan 10 minit kemudian apabila meledak jaringan cantik dari sudut sempit untuk menewaskan Mpasi dengan sepakan lob.
DR Congo hampir menyamakan kedudukan menerusi Nathanael Mbuku yang meledak ke penjuru atas gawang, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR kerana kekasaran dalam aksi pembentukan serangan terhadap Sherzod Nasrullaev.
Pengendali DR Congo, Sebastien Desabre berkata Wissa kini menunjukkan prestasi terbaiknya selepas musim pertama yang kurang memberangsangkan bersama Newcastle susulan perpindahan bernilai £55 juta (RM335 juta) dari Brentford.
Wissa sebelum ini menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 menentang Portugal, namun mensia-siakan peluang besar pada awal babak kedua.

Di sebelah lain, Shomurodov hampir menghasilkan satu lagi jaringan cantik apabila percubaannya dari luar kotak penalti terkena bumbung gawang.
DR Congo hampir kehilangan rentak sebelum kesilapan Abdukodir Khusanov dari Manchester City yang menjatuhkan Wissa menghadiahkan sepakan penalti kepada mereka.
Wissa tenang menyempurnakan penalti untuk mengelirukan penjaga gol Abduvohid Nematov sekali gus mencetuskan sorakan hampir 70,000 penonton.
Dua minit kemudian, ribuan penyokong menyaksikan detik bersejarah apabila percubaan Meschack Elia yang terbias memberi peluang kepada Fiston Mayele untuk menolak masuk gol.
Wissa melengkapkan kebangkitan dengan jaringan lencongan dari luar kotak penalti.

Kemaraan DR Congo meneruskan prestasi cemerlang pasukan Afrika dalam kejohanan ini.
Hanya Tunisia daripada 10 wakil Afrika tersingkir, manakala Algeria berpeluang menyertai lapan negara Afrika lain yang telah mara ke pusingan 32 terbaik dalam aksi kumpulan terakhir nanti. – AFP