KUALA LUMPUR: Bantuan yang disediakan menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap perusahaan kecil dan sederhana mikro (PKS Mikro) yang menjadi asas dasar kepada ekonomi negara.
GKP, yang bertujuan membantu PKS Mikro yang terkesan akibat daripada pandemik Covid-19, diperkenalkan semasa pusingan pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas; dan setakat ini geran itu telah membantu 900,000 PKS Mikro dengan jumlah peruntukan RM3.58 bilion.
Bantuan itu diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan dalam kalangan perniagaan kecil terutamanya berkaitan dengan modal kerja seperti untuk menambah semula inventori, membeli bahan mentah dan meningkatkan simpanan tunai.
Bantuan kewangan sekali itu bermula dengan GKP 1.0 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), diikuti GKP 2.0,GKP Plus di bawaj Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan GKP 3.0 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).
PKS Mikro menerima pembayaran sekali sebanyak RM3,000 setiap satu di bawah GKP 1.0 dan GKP 2.0.
Bagi GKP Plus, semua penerima GKP 1.0 dan GKP 2.0 di 12 negeri di bawah PKP yang dilaksanakan pada Januari dan Februari tahun ini akan memperoleh RM1,000 manakala PKS Mikro di negeri-negeri yang bukan berada di bawah PKP menerima RM500.
Sementara itu, PKS Mikro yang tidak menerima bantuan sebelum ini akan mendapat RM1,000 di bawah GKP 3.0. – Bernama