
KUCHING: Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman menggesa Pemuda Parti Tindakan Demokratik Sosialis (DAPSY) memahami terlebih dahulu perkembangan semasa di Sarawak sebelum mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kejayaan kerajaan negeri mengambil alih Bintulu Port Holdings Berhad.
Beliau menyifatkan kritikan yang dilemparkan DAPSY terhadap pengambilalihan pelabuhan strategik itu berpunca daripada keengganan mendapatkan maklumat yang tepat mengenai perkembangan di Sarawak.
“Satu perkataan sahaja, ‘kejahilan’. Bila tidak mahu mengambil tahu, bila tiada ilmu, maka mulalah mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal dan menyebarkan maklumat yang mengelirukan.
“Nasihat saya kepada DAP, luangkan lebih banyak masa di Sarawak. Fahami dan baca dahulu apa yang sedang berlaku di Sarawak daripada terlalu memberi perhatian kepada perkembangan di Semenanjung. Apabila sudah memahami apa yang berlaku di Sarawak, barulah bercakap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kelam Carbut Belia Tupong, di Kubah Ria, di sini, malam tadi.
Fazzrudin berkata, sesiapa yang mengikuti perkembangan negeri ini secara dekat sudah pasti berasa bangga dengan pelbagai pencapaian yang berjaya direalisasikan Kerajaan Sarawak, termasuk pengambilalihan Bintulu Port Holdings Berhad.
“Kalau mereka benar-benar mengikuti perkembangan Sarawak, sedikit sebanyak mereka akan berasa bangga dengan pencapaian negeri ini kerana sesiapa yang waras pasti berbangga dengan apa yang telah dicapai Sarawak.
“Masalahnya apabila terlalu berkiblatkan Semenanjung, maka perkara yang baik di Sarawak pun gagal dilihat,” katanya.
Mengulas nilai pengambilalihan Bintulu Port sebanyak RM1.8 bilion, beliau berpandangan jumlah tersebut merupakan hasil rundingan yang amat baik memandangkan nilai sebenar aset strategik itu dianggarkan jauh lebih tinggi.
“Kalau saya melihat daripada sudut korporat dan perniagaan, nilai Bintulu Port bukanlah RM1.8 bilion. Mungkin nilainya boleh mencecah RM3 bilion hingga RM4 bilion.
“Dengan kebijaksanaan pimpinan Sarawak, kita berjaya memperoleh pelabuhan itu pada nilai yang jauh lebih rendah. Sudah tentu kita juga berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana bersetuju dengan jumlah tersebut,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat