
KUCHING: Sebuah kereta musnah dalam kebakaran di hadapan Café Flyover Satok, di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 9.45 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dikerahkan ke lokasi kejadian.
Jentera tiba pada 9.56 pagi dan mendapati api sedang marak melibatkan sebuah kenderaan yang sedang terbakar di lokasi berkenaan.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan konsep RECEO dengan satu aliran sepanjang 100 kaki serta pancutan nozel Foam Making Branch (FMB) yang dibekalkan oleh pam air tangki jentera.
Api berjaya dikawal pada 10.08 pagi dan dipadamkan sepenuhnya menggunakan buih (foam) sebelum anggota bomba menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Kebakaran mengakibatkan kerosakan 100 peratus pada kenderaan berkenaan namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Operasi ditamatkan pada 10.11 pagi selepas pemeriksaan akhir mendapati keadaan selamat.
Seramai lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) terlibat dalam operasi ini dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).