
PETRA JAYA: Projek pembinaan velodrom yang dinanti-nantikan di Sarawak kini berdepan pelarasan perancangan membabitkan urusan tanah sebelum pelaksanaannya dapat dimuktamadkan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pelarasan itu melibatkan kawasan tanah yang sebelum ini diperuntukkan bagi pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Jalan Badruddin sebelum cadangan pemindahan berkenaan dibatalkan.
Menurutnya, walaupun terdapat pelarasan tersebut, projek itu masih berada pada peringkat perancangan lanjut selepas menerima kelulusan secara prinsip daripada kerajaan negeri.
“Tapak projek telah dikenal pasti dan ia merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk membangunkan ekosistem sukan bersepadu di Kompleks Sukan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Cabaran Basikal Samarahan 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, hari ini.
Menurutnya, kawasan berkenaan merupakan antara lokasi yang sesuai untuk pembangunan kemudahan sukan berikutan kedudukannya yang bersebelahan Kompleks Sukan Sarawak.
“Kawasan tersebut bukan sahaja dicadangkan untuk pembinaan velodrom.
“Malah, ia turut dirancang sebagai hab sukan yang menempatkan pelbagai kemudahan termasuk padang ragbi dan litar pemanduan sebagai sebahagian daripada pembangunan sukan bersepadu di negeri ini,” katanya.
Abdul Karim berkata, cadangan pembangunan itu berpotensi memperkukuh ekosistem sukan Sarawak dengan menempatkan beberapa fasiliti utama dalam satu kawasan berpusat yang bersebelahan Kompleks Sukan Sarawak.
Untuk rekod, kawasan yang dicadangkan bagi pembangunan velodrom itu melibatkan tanah seluas 68 hektar yang sebelum ini diperuntukkan bagi pembinaan IPK Sarawak yang baharu.
Oleh Adele Rissa