
TOKYO, Jepun: Syarikat penerbangan Jepun membatalkan 120 penerbangan pada Jumaat susulan dua ribut tropika yang sedang menghampiri kepulauan negara itu, manakala pihak berkuasa mengarahkan pemindahan penduduk di beberapa kawasan berikutan risiko banjir dan tanah runtuh.
Ribut tropika kuat Mekkhala yang diturunkan taraf daripada taufan masih membawa tiupan angin sehingga 144 kilometer sejam (km/j), menurut ramalan kaji cuaca, dengan hujan lebat terus melanda beberapa kawasan di selatan dan barat Jepun.
Sistem cuaca itu dijangka bergerak berhampiran pulau Kyushu dan Shikoku sepanjang hujung minggu sebelum berpotensi bertembung dengan Ribut Tropika Higos yang kini berada di Lautan Pasifik.
Pertembungan itu boleh mencetuskan fenomena atmosfera dikenali sebagai Kesan Fujiwhara, iaitu apabila dua ribut saling berinteraksi sehingga menyukarkan ramalan mengenai pergerakan dan kekuatannya.
Japan Airlines dan All Nippon Airways membatalkan keseluruhan 120 penerbangan dari dan ke wilayah selatan Okinawa serta Kagoshima.

Pihak berkuasa di wilayah Kyoto turut menasihatkan beberapa ribu penduduk supaya berpindah berikutan amaran risiko tanah runtuh, ketika rakaman stesen penyiaran awam NHK menunjukkan sungai yang melimpah dengan arus deras melalui kawasan itu.
Pegawai di Kyoto dan Osaka berkata paras air sungai semakin meningkat dan orang ramai diminta terus berwaspada terhadap ancaman banjir.
Pengeluar automotif Toyota menggantung operasi di sebuah kilangnya di Kyushu susulan penutupan jalan akibat hujan lebat, manakala Nissan turut memaklumkan akan menghentikan sementara operasi beberapa barisan pengeluaran, lapor agensi berita Kyodo.
Tentera Jepun turut membatalkan penerbangan sulung pesawat pengangkut V-22 Osprey ke Pulau Miyako yang dijadualkan sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat, menurut Kyodo.
Sementara itu di Taiwan, lebih 1,600 penduduk dipindahkan dari kediaman masing-masing, manakala sekolah dan pejabat di beberapa kawasan ditutup selepas Mekkhala mencetuskan hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di seluruh pulau itu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, namun pihak berkuasa pada Jumaat memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku aliran serpihan berbahaya di kawasan tanah tinggi di Daerah Hualien di timur, serta Kaohsiung dan Pingtung di selatan.
Agensi ramalan cuaca memaklumkan sebanyak 88 sentimeter hujan direkodkan di kawasan berkenaan sejak Khamis.
Seorang pegawai tempatan berkata, puluhan penduduk yang tinggal di kawasan hilir sebuah tasik yang terbentuk akibat halangan semula jadi di kawasan berbukit di Hualien telah meninggalkan kediaman mereka sebagai langkah berjaga-jaga, manakala beberapa perkhidmatan kereta api turut digantung. — AFP