LONDON, 15 Oktober: Jenama anak patung Barbie memberi penghormatan kepada penyanyi terkenal Celine Dion dengan menghasilkan patung edisi khas yang menyerupai penampilannya, lapor PA Media/dpa.
Rekaan patung itu diinspirasikan daripada gaun biru tua berlengan panjang yang dipakai Dion ketika mempersembahkan lagu tema filem Titanic, “My Heart Will Go On” , pada Anugerah Akademi 1998.
Rantai leher berwarna biru yang dipakai patung berkenaan pula diinspirasikan daripada rantai leher dikenali sebagai “Heart of the Ocean”, yang memainkan peranan penting dalam filem pecah panggung terbitan 1997 itu.
Rambut patung itu digayakan dengan dandanan sanggul, selain dilengkapi sepasang anting-anting berwarna perak.
“Merupakan satu penghormatan besar bagi saya untuk menjadi sebahagian daripada legasi Barbie menerusi patung yang diinspirasikan daripada antara detik paling bermakna dalam kerjaya saya.
“Saya berharap patung ini dapat memberi inspirasi kepada semua orang untuk mengekspresikan diri dengan penuh keyakinan, mengejar impian dan mempercayai kekuatan suara mereka sendiri,” kata Dion.
Dion merupakan bintang terbaharu yang diabadikan dalam bentuk patung Barbie, menyusuli penyanyi terkenal lain seperti Mariah Carey dan Tina Turner.
Margot Robbie, yang membawakan watak Barbie dalam filem pecah panggung pada 2023, turut pernah diabadikan menerusi patung yang menyerupai dirinya.
Dengan jualan hampir 260 juta album di seluruh dunia, Dion merupakan antara penyanyi paling laris dan paling banyak menerima anugerah dalam sejarah muzik pop, terkenal menerusi lagu popular termasuk “My Heart Will Go On” dan “Because You Loved Me” .
Pada 2022, Dion mendedahkan bahawa beliau disahkan menghidap sindrom “stiff-person syndrome” dan mengambil keputusan untuk berehat daripada membuat persembahan.
Beliau kembali ke pentas bulan lepas menerusi persembahan pertama daripada 16 persembahan yang dijadual berlangsung sepanjang September dan Oktober di Plenitude Arena, pinggir bandar Paris.
Patung Barbie Signature Celine Dion keluaran Mattel kini boleh didapati di pasaran.- Bernama-PA Media/dpa





