
MONTERREY, Mexico: Jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos, berkata pasukannya telah “mendiamkan mulut-mulut besar” selepas Bafana Bafana melayakkan diri ke peringkat kalah mati Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah mereka dengan menewaskan Korea Selatan 1-0, pada 9.00 pagi (waktu Malaysia).
Pasukan Afrika itu, yang beraksi buat kali keempat dalam kejohanan tersebut, menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan A di belakang tuan rumah bersama, Mexico yang mencatat rekod sempurna tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.
Afrika Selatan, yang kali terakhir beraksi di Piala Dunia ketika menjadi tuan rumah pada 2010, pada awalnya tidak dianggap pencabar selepas tewas 2-0 kepada Mexico dalam perlawanan pembukaan.
Namun, mereka bangkit dengan keputusan seri menentang Republik Czech dan meraih kemenangan dalam perlawanan penentuan tempat kedua di Monterrey hasil jaringan separuh masa kedua Thapelo Maseko.
“Saya sangat berbangga dengan prestasi pasukan saya dan saya rasa kami telah memberi jawapan kepada semua ‘mulut besar’ sejak beberapa minggu lalu yang berpendapat kami perlu mengubah sesuatu,” kata Broos dengan penuh keyakinan.
“Kami hanya melakukan apa yang kami lakukan. Kami hanya melakukan apa yang saya mahukan, dan inilah hasilnya.”

Jurulatih berusia 74 tahun itu, yang membimbing pasukan sejak 2021, berkata kejayaan mara ke peringkat kedua merupakan detik yang penuh emosi buat Afrika Selatan.
“Saya sudah katakan sebelum ini bahawa ini mungkin antara perlawanan terakhir dalam karier saya, dan jika anda dapat menamatkan kerjaya seperti ini, saya rasa setiap jurulatih akan bermimpi mengenainya.”
Jurulatih dari Belgium itu berkata beliau sentiasa percaya kepada pemainnya walaupun menerima kritikan keras.
“Antara saya sebagai jurulatih dan mereka sebagai pemain, mungkin ada sesuatu yang unik saya jurulatih, tetapi saya juga bukan sekadar jurulatih,” katanya.
“Saya rasa saya adalah rakan mereka. Jadi hubungan antara pemain dan saya sangat baik.”
Afrika Selatan akan menentang Kanada, salah satu tuan rumah kejohanan, di Los Angeles pada Ahad ini dengan tempat ke pusingan 16 terbaik menjadi rebutan.
“Saya tahu pemain akan bersedia sekali lagi dan cuba mara ke peringkat seterusnya,” kata Broos.
“Ia akan menjadi sesuatu yang lebih bersejarah. Namun pemain-pemain ini mengejar perkara itu. Mereka mahu membuktikan kepada semua bahawa mereka adalah pasukan yang baik. Jadi kita akan lihat Ahad ini sama ada kami boleh terus melangkah.” – AFP