Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Milton Foo gesa siasatan telus kes dakwaan serangan seksual pelajar
  • JENAYAH

Milton Foo gesa siasatan telus kes dakwaan serangan seksual pelajar

Utusan Sarawak 11 hours ago
MILTON bercakap pada sidang media.

KUCHING: Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo, menggesa agar siasatan dijalankan secara telus dalam kes dakwaan serangan seksual yang melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, sambil menegaskan kepentingan melindungi mangsa serta memastikan keadilan ditegakkan.

Beliau berkata, keluarga mangsa telah mendapatkan bantuan Biro Aduan Awam selepas membuat laporan polis berhubung kejadian yang didakwa berlaku pada 10 Jun lalu.

Menurutnya, polis menerima laporan berkenaan pada hari yang sama sebelum menahan seorang suspek pada 15 Jun.

Foo menegaskan bahawa identiti mangsa yang masih di bawah umur tidak boleh didedahkan oleh mana-mana pihak selaras dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, Biro Aduan Awam campur tangan dalam kes tersebut bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, keselamatan mangsa terpelihara dan keadilan dapat ditegakkan.

“Pada peringkat ini, kami tidak berada di sini untuk menghakimi sesiapa. Mengikut undang-undang, setiap individu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan yang diambil dalam mengendalikan kes berkenaan dan menyatakan keyakinan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional.

Dalam pada itu, Foo mengingatkan ibu bapa agar sentiasa berwaspada dan memainkan peranan aktif dalam melindungi anak-anak mereka, khususnya remaja perempuan.

“Peranan Biro Aduan Awam adalah mudah. Jika rakyat mempunyai aduan atau berdepan ketidakadilan, kami akan bersuara. Jika terdapat batasan undang-undang, kami akan menghormatinya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak akan hadir pada sidang media tersebut dan meminta orang ramai serta pihak media menghormati privasi keluarga mangsa.

Sementara itu, abang mangsa berharap keadilan dapat ditegakkan susulan kes serangan seksual serius yang melibatkan adiknya.

Beliau berkata, kejadian itu didakwa berlaku pada 9 Jun dan ibu mereka telah membuat laporan polis pada keesokan harinya bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil.

Menurutnya, keluarga mereka pada peringkat awal berasa bimbang terhadap perkembangan siasatan.

Namun, pada 23 Jun, dengan bantuan dan nasihat Milton Foo, mereka berjaya berhubung dengan pihak berkaitan bagi memastikan tindakan susulan terhadap kes tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar.

Kes itu kini telah memasuki proses perundangan dan sebutan kes seterusnya ditetapkan pada 21 Julai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Foo atas bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang proses berkenaan, selain mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas profesionalisme dan komitmen mereka dalam menjalankan siasatan.

Keluarga tersebut menghormati proses perundangan serta memahami bahawa keadilan memerlukan masa.

Mereka berharap kes itu dapat dibicarakan secara adil mengikut lunas undang-undang dan mangsa memperoleh perlindungan serta pembelaan yang sewajarnya.

Pada masa yang sama, mereka turut memohon agar orang ramai dan pihak media memberi ruang kepada keluarga mereka serta membenarkan prosiding mahkamah berjalan tanpa gangguan.

Oleh Connie Chieng

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Warga Indonesia ditahan dalam Ops Bersama di Serian
Next: ​Polis tumpaskan kegiatan loteri haram di pondok kaki lima Roban

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.