
KUALA LUMPUR: AEON Credit Service (M) Bhd (AEON Credit) dikenakan denda sebanyak RM520,000 kerana gagal mematuhi keperluan berkaitan sekatan kewangan bersasar (TFS).
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaksanaan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) itu dibuat susulan pemeriksaan penyeliaan di premis AEON Credit yang mendedahkan bahawa satu entiti tertentu yang tersenarai dalam Senarai Domestik telah didaftarkan sebagai pelanggan.
Senarai Domestik merujuk kepada nama dan butiran entiti tertentu yang diisytiharkan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah perundangan subsidiari berkaitan yang dibuat di bawah seksyen 66(B)(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Menurut bank pusat itu, AEON Credit gagal menolak bakal pelanggan itu walaupun entiti tersebut merupakan padanan positif.
“Selain itu, terdapat juga kelewatan dalam membekukan akaun pelanggan selepas terdapat pengesahan bahawa pelanggan itu merupakan entiti tertentu.
“Pelanggaran ini disebabkan oleh kekurangan pengawasan daripada kakitangan dan jurang dalam prosedur operasi standard (SOP) AEON Credit,” kata BNM.
BNM berkata berikutan itu AEON Credit telah mengambil langkah pemulihan dengan menambah baik SOP dan menjalankan latihan ulang kaji untuk kakitangan berkaitan bagi memastikan pematuhan dengan keperluan TFS.
“Dalam membuat keputusan mengenai AMP yang akan dikenakan, ia turut mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan.
“Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan kekurangan langkah berjaga-jaga yang munasabah oleh AEON Credit dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan TFS, rekod pematuhan lalu dan tingkah laku pasca salah laku, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan untuk mencegah pelanggaran daripada berulang,” tambahnya.
BNM berkata ia mewajibkan semua institusi pelapor (RI) untuk memastikan pematuhan dengan keperluan TFS dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya mana-mana RI gagal memenuhi keperluan perundangan dan/atau pengawalseliaannya. – Bernama