
SYDNEY: Saintis di Australia membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) yang boleh membantu doktor mendiagnosis skizofrenia dengan menganalisis corak gelombang otak, lapor Xinhua.
Penyelidik dari Universiti James Cook (JCU) Australia mendapati model pembelajaran mesin boleh membezakan antara individu yang sihat dan mereka yang mempunyai skizofrenia, walaupun dalam keadaan tekanan akut, menurut kenyataan JCU yang dikeluarkan semalam.
Pasukan itu menguji algoritma pembelajaran mesin baharu pada corak gelombang otak elektroensefalografi (EEG) pesakit yang sihat, tertekan dan skizofrenia, dan mendapati otak bertindak balas secara berbeza pada individu yang mengalami skizofrenia berbanding individu sihat apabila mereka tertekan.
Skizofrenia menjejaskan kira-kira satu peratus daripada populasi global dan dikaitkan dengan mortaliti tinggi.
Melakukan diagnosis yang lebih baik dan pengesanan awal adalah penting untuk pengurusan yang berkesan, kata kajian yang diterbitkan dalam jurnal “Biomedical Signal Processing and Control”.
Pasukan tersebut menggunakan set data EEG akses terbuka dan algoritma yang dibangunkan yang mampu mengambil kira kesan tekanan pada gelombang otak EEG, menghasilkan corak yang konsisten dengan pengetahuan perubatan mantap.
Penyelidik berkata AI direka untuk menyokong doktor, bukan menggantikan mereka, dan AI yang boleh dijelaskan, dapat membantu meningkatkan akses kepada penjagaan tepat pada masanya di kawasan pedalaman. – Bernama