
KOTA SAMARAHAN: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang dipercayai aktif di kawasan Asajaya menerusi operasi khas yang dijalankan oleh Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry William, satu laporan polis diterima di Balai Polis Asajaya pada Isnin lalu, daripada seorang warga emas berusia 70 tahun yang menjadi mangsa samun di sebuah kampung di Sadong Jaya.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam pada Isnin lalu, apabila tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang dan besi menceroboh rumah mangsa sebelum mengikat kedua-dua tangannya.
Dalam kejadian itu, suspek melarikan wang tunai RM3,000, sebuah telefon bimbit, dokumen peribadi serta beberapa barangan lain milik mangsa.
Susulan kejadian tersebut, polis menggerakkan operasi khas melibatkan pegawai dan anggota Cawangan D9 JSJ IPK Sarawak serta Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan bagi mengesan individu yang terlibat.
Hasil operasi itu, polis berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 52 tahun dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Asajaya serta merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian samun berkenaan.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek positif dadah menerusi ujian saringan air kencing dan mempunyai 13 rekod siasatan lampau membabitkan kes dadah, jenayah harta benda serta jenayah kekerasan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Keempat-empat suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Kota Samarahan pagi ini bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan reman dibenarkan sehingga 1 Julai depan.
Polis pada masa sama sedang giat mengesan seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas.
DSP Barry William menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam membanteras jenayah kekerasan dan akan terus mempertingkat usaha penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman