
KUCHING: Kerajaan tidak menetapkan tarikh tutup bagi permohonan Program BUDI Diesel bagi memastikan semua pemilik kenderaan diesel yang layak dapat memohon bantuan berkenaan pada bila-bila masa, selain berpandangan masih terlalu awal untuk menilai semula kuota program tersebut.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan itu diambil kerana terdapat individu yang mungkin membeli kenderaan diesel atau pacuan empat roda (4×4) selepas pelaksanaan program berkenaan.
Menurut beliau, kerajaan tidak mahu mengehadkan permohonan kepada satu tempoh tertentu kerana matlamat utama program itu adalah memastikan bantuan subsidi bersasar sampai kepada semua yang layak.
“Kadangkala seseorang tidak memiliki kenderaan diesel hari ini, tetapi mungkin membelinya pada bulan hadapan. Jadi kita tidak mahu menjadikannya tawaran sekali sahaja.
“Program ini akan terus berjalan kerana asasnya adalah untuk berlaku adil kepada semua. Sesiapa yang memiliki kenderaan yang layak boleh memohon pada bila-bila masa,” katanya pada sesi taklimat media selepas mengumumkan penambahbaikan Program BUDI Diesel di sebuah hotel di sini, hari ini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan tambahan bantuan bersamaan 100 liter diesel sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian terpilih menerusi Program BUDI MADANI.
Pada masa sama, Amir Hamzah berkata kerajaan belum bercadang untuk menilai semula kuota BUDI Diesel kerana sistem berkenaan masih dalam fasa penstabilan selepas pelaksanaannya diperluaskan.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah memastikan mekanisme subsidi bersasar itu berfungsi dengan berkesan serta mencapai matlamat mengurangkan ketirisan subsidi bahan api.
“Kita mahu mengetatkan mekanisme pemberian subsidi supaya bantuan benar-benar sampai kepada rakyat yang layak.
“BUDI Diesel diperkenalkan kerana kita melihat pendekatan ini lebih baik dan telah terbukti berkesan menerusi pelaksanaan BUDI 95,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha membendung ketirisan dalam penggunaan diesel yang masih mempunyai ruang untuk disalahgunakan.
Menurutnya, pelaksanaan sistem tersebut dijangka membantu menjimatkan kira-kira satu bilion liter diesel serta mengurangkan perbelanjaan subsidi kerajaan sehingga RM2 bilion.
Amir Hamzah berkata, sistem BUDI Diesel turut direka bentuk bagi membolehkan kemas kini kelayakan dilakukan secara berterusan selaras dengan perubahan pemilikan kenderaan dalam kalangan rakyat.
Katanya, langkah itu memastikan bantuan subsidi bersasar dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa menjejaskan akses pemohon baharu yang layak.
Beliau menambah, data penggunaan semasa akan terus dipantau sebelum sebarang pertimbangan dibuat berhubung semakan kuota atau penambahbaikan lain pada masa hadapan.
“Keutamaan sekarang ialah memastikan sistem ini stabil dan mencapai objektif yang ditetapkan terlebih dahulu,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud