Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Penggunaan elektrik meningkat seiring kemajuan luar bandar
  • Tengah
  • WILAYAH

Penggunaan elektrik meningkat seiring kemajuan luar bandar

Utusan Sarawak 5 hours ago
LAU bersama jurutera dan pegawai SEB mengadakan lawatan ke beberapa kawasan luar bandar dan sekolah bagi meninjau isu bekalan elektrik serta menilai keperluan menaik taraf infrastruktur sedia ada.

SIBU: Peningkatan penggunaan elektrik di kawasan luar bandar susulan peningkatan taraf hidup penduduk mendorong usaha pemantauan berterusan bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil serta mencukupi.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie bersama jurutera dan pegawai Sarawak Energy Berhad (SEB) mengadakan lawatan ke beberapa kawasan luar bandar dan sekolah bagi meninjau isu bekalan elektrik serta menilai keperluan menaik taraf infrastruktur sedia ada.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Penghulu Wong Ung, Kapitan Chew Hoo Kiong, Kaunselor Yong Ing Hock dan pasukan teknikal SEB.

Rombongan berkenaan mengunjungi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK(C) Tai Tung, SJK(C) Boi Ing dan SMK Kwong Hua serta mengadakan sesi pertemuan dengan pihak pengurusan sekolah dan penduduk setempat bagi mendapatkan maklum balas berhubung masalah bekalan elektrik yang dihadapi.

Menurut Lau, peningkatan penggunaan penghawa dingin, peralatan pemanas dan pelbagai perkakas elektrik di kediaman menyebabkan permintaan tenaga elektrik terus meningkat dari semasa ke semasa.

LAU bersama jurutera dan pegawai SEB mengadakan lawatan ke beberapa kawasan luar bandar dan sekolah bagi meninjau isu bekalan elektrik serta menilai keperluan menaik taraf infrastruktur sedia ada.

Katanya, sebahagian transformer sedia ada dipasang berdasarkan jumlah penduduk dan keperluan penggunaan elektrik pada masa lalu, menyebabkan ada kemudahan yang kini menghampiri had kapasiti beban.

“Keadaan ini boleh menyebabkan masalah voltan rendah dan bekalan elektrik yang tidak stabil di sesetengah kawasan,” ujarnya.

Beliau berkata, lawatan tersebut bertujuan membolehkan pihak SEB menilai keadaan sebenar di lapangan serta menentukan sama ada terdapat keperluan untuk menaik taraf kapasiti transformer, menambah kemudahan elektrik atau melaksanakan langkah penambahbaikan lain.

Tambahnya, jurutera SEB akan terus mengumpul data penggunaan elektrik dan beban semasa sebelum membuat penilaian teknikal serta merangka tindakan susulan yang bersesuaian.

Selain isu bekalan elektrik, rombongan turut meninjau keadaan tiang utiliti di kawasan Sungai Sadit.

Lau berkata, perubahan jajaran jalan akibat projek naik taraf yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu menyebabkan terdapat tiang utiliti yang tidak lagi berada pada kedudukan ideal.

Katanya, sesetengah tiang lama juga dikelilingi pokok dan tumbuhan menjalar yang menyukarkan kerja penyelenggaraan.

“Pihak kami bersama SEB turut membincangkan kemungkinan memindahkan beberapa tiang utiliti ke lokasi yang lebih sesuai bagi memudahkan penyelenggaraan serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa beliau bersama pemimpin masyarakat akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat dan agensi kerajaan bagi memastikan isu yang dihadapi masyarakat luar bandar mendapat perhatian sewajarnya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada para pemimpin masyarakat atas usaha berterusan mereka dalam mengumpul maklum balas penduduk dan membantu menyelaras pelbagai isu di peringkat akar umbi.

“Melalui kerjasama dan komunikasi yang berterusan antara semua pihak, kita percaya pelbagai isu yang dihadapi penduduk luar bandar dapat diselesaikan secara berperingkat demi mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Ular cincin emas 0.6 meter ceroboh tempat kerja berjaya ditangkap APM
Next: Ular sawa sepanjang 5.49 meter ditangkap di belakang rumah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.