Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Colombia tewaskan DR Congo 1-0, sah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia
  • SUKAN

Colombia tewaskan DR Congo 1-0, sah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENYERANG DR Congo, Yoane Wissa (#20), dan pertahanan Colombia, Daniel Munoz (#02), bersaing merebut bola dalam perlawanan Kumpulan K Piala Dunia 2026 antara Colombia dan Republik Demokratik Congo (DR Congo) di Stadium Guadalajara, Zapopan pada 23 Jun 2026. Foto AFP

GUADALAJARA, Mexico: Colombia akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pertahanan Republik Demokratik Congo (DR Congo) untuk mencatat kemenangan 1-0 sebentar tadi, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026.

Kemenangan di Guadalajara hasil jaringan Daniel Munoz pada minit ke-76 membolehkan Colombia mendahului Kumpulan K dengan enam mata, dua mata di hadapan Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo, dengan satu lagi perlawanan peringkat kumpulan masih berbaki.

PEMAINAN pertahanan Colombia, #23 Davinson Sanchez, dan penyerang Republik Demokratik Congo, #17 Cedric Bakambu, bersaing merebut bola dalam perlawanan Kumpulan K Piala Dunia 2026 antara Colombia dan Republik Demokratik Congo di Stadium Guadalajara, Zapopan, pada 23 Jun 2026. Foto AFP

Portugal, yang terikat 1-1 dengan DR Congo dalam perlawanan pembukaan, sebelum itu membelasah Uzbekistan 5-0 di Houston dengan Ronaldo menyumbang dua gol.

Penyokong Colombia mengubah suasana stadium di Mexico menjadi lautan kuning apabila jumlah mereka jauh mengatasi penyokong pasukan dari Afrika itu.

Pasukan Amerika Selatan yang menewaskan Uzbekistan 3-1 dalam aksi pembukaan kejohanan menguasai permainan sejak wisel permulaan dan bertali arus mengancam gawang yang dikawal Lionel Mpasi.

PEMAIN pertahanan Colombia #02, Daniel Munoz meraikan jaringan yang kemudiannya dibatalkan semasa perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026 Kumpulan K antara Colombia dan Republik Demokratik Congo (DR Congo) di Stadium Guadalajara, Zapopan pada 23 Jun 2026. Foto AFP

Munoz terlebih dahulu mensia-siakan peluang terbaik sebelum satu jaringannya dibatalkan kerana ofsaid. Tidak lama kemudian, James Rodriguez melepaskan rembatan kencang yang berjaya ditepis cemerlang oleh Mpasi ketika Colombia terus melancarkan serangan.

Mpasi sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila menyelamatkan percubaan Johan Mojica dan Luis Diaz ketika Colombia terus mendominasi permainan menerusi corak serangan yang pantas dan kreatif.

Bagaimanapun, intensiti permainan Colombia sedikit menurun selepas rehat minuman pertama, sekali gus memberi ruang kepada DR Congo untuk kembali mengimbangi permainan dan sesekali mengancam kubu lawan.

JURULATIH ketua Republik Demokratik Congo dari Perancis, Sebastien Desabre, memberi arahan dari tepi padang semasa perlawanan bola sepak Kumpulan K Piala Dunia 2026 antara Colombia dan Republik Demokratik Congo di Stadium Guadalajara, Zapopan, pada 23 Jun 2026. Foto AFP

Mpasi terus menjadi benteng utama pasukannya apabila menyelamatkan percubaan Diaz menggunakan kaki pada minit ke-50 bagi memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan.

DR Congo turut mencipta beberapa peluang berbahaya, namun Munoz yang beraksi bersama kelab Crystal Palace menebus kehampaan pada babak pertama apabila rembatannya terkena pemain lawan sebelum menerjah gawang, sekali gus memperdayakan Mpasi yang sudah bergerak ke arah bertentangan.

JURULATIH Colombia dari Argentina, Nestor Lorenzo, memberikan isyarat dari tepi padang semasa perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026 Kumpulan K antara Colombia dan Republik Demokratik Congo (DR Congo) di Stadium Guadalajara, Zapopan, pada 23 Jun 2026. Foto AFP

Pasukan Afrika itu tidak berputus asa dan ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, penjaga gol Colombia, Camilo Vargas, terpaksa melayangkan badan ke sebelah kiri untuk menepis rembatan deras Nathanael Mbuku.

Colombia yang gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2022 di Qatar akan menentang Portugal di Miami pada Sabtu, manakala DR Congo bakal berdepan Uzbekistan di Atlanta.

DR Congo masih mempunyai peluang tipis untuk mara ke pusingan 32 terbaik dalam penampilan pertama mereka di Piala Dunia sejak 1974, ketika negara itu masih dikenali sebagai Zaire. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: ‘Saya kembali’ – Ronaldo balas pengkritik
Next: Tuchel tetap yakin England di landasan tepat meskipun seri dengan Ghana

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.