
PADAWAN: Seramai dua individu dikesan positif ketum dalam satu Operasi Bersepadu yang dilaksanakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuching bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di Batu 14, Lebuh Raya Pan Borneo Kuching–Serian, hari ini.
Menurut kenyataan media AADK Daerah Kuching, operasi berkenaan diadakan menerusi sekatan jalan raya sebagai langkah proaktif bagi mengesan dan membanteras penyalahgunaan dadah serta bahan terlarang dalam kalangan pengguna jalan raya.
Operasi itu turut dihadiri Ketua Daerah AADK Kuching, Evelyn Jata Achek, yang memantau sendiri pelaksanaan ujian saringan awal terhadap individu yang diperiksa sepanjang operasi dijalankan.
Sepanjang operasi tersebut, seramai 23 individu telah menjalani ujian saringan urin bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh bahan terlarang ketika berada di jalan raya.

Hasil saringan mendapati 21 individu memperoleh keputusan negatif, manakala dua lagi disahkan positif ketum dan akan melalui tindakan serta prosedur lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut kenyataan itu, operasi bersepadu berkenaan membuktikan komitmen berterusan AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi menangani isu penyalahgunaan dadah di negara ini.
Selain aspek penguatkuasaan, pendekatan bersepadu yang dilaksanakan turut memberi penekanan kepada usaha pencegahan awal dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan bahan terlarang.
AADK Daerah Kuching menegaskan pihaknya akan terus memperhebatkan usaha pencegahan, penguatkuasaan serta pemulihan secara berterusan demi melahirkan komuniti yang lebih selamat, sihat dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Oleh Adi Safarman