
ROM: Ketua baharu Persekutuan Bola Sepak Itali, Giovanni Malago tidak menolak kemungkinan melantik jurulatih asing untuk pasukan kebangsaan buat kali pertama, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ketika ditanya dalam wawancara bersama akhbar La Repubblica pada Selasa mengenai kemungkinan melantik jurulatih luar negara bagi skuad lelaki, tokoh sukan berusia 67 tahun itu berkata: “Jangan sesekali berkata tidak.”
Pegawai sukan berpengalaman itu dipilih sebagai presiden baharu persekutuan pada Isnin dalam satu mesyuarat agung.
Misinya adalah untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Itali selepas negara itu gagal layak ke tiga kejohanan Piala Dunia FIFA berturut-turut bagi kategori lelaki.
Selepas Itali sekali lagi gagal melayakkan diri ke Piala Dunia apabila tewas dalam perlawanan penentuan kepada Bosnia and Herzegovina pada Mac lepas, beberapa pegawai utama mengambil keputusan untuk berundur, termasuk Presiden Persekutuan Gabriele Gravina, Jurulatih Kebangsaan Gennaro Gattuso dan penyelaras pasukan Gianluigi Buffon.
Menurut laporan media Itali, seorang individu yang tidak asing lagi dan merupakan warga Itali dianggap calon utama untuk mengisi jawatan jurulatih.
Roberto Mancini pernah membimbing Itali dari 2018 hingga 2023 dan berjaya membawa negara itu menjuarai Kejohanan UEFA .
Ketika ditanya mengenai Mancini, Malago berkata kepada La Repubblica: “Saya belum bercakap dengan Roberto.” – Bernama