DALAT: Kompleks Kebajikan Daerah Dalat (KKD) adalah lambang nilai keharmonian dan interaksi pelbagai generasi di bawah satu bumbung.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata demikian kerana ia akan menempatkan organisasi dari pelbagai peringkat usia.
“Kompleks ini akan menempatkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Dalat (JKM Dalat), Pusat Pemulihan Dalat Komuniti (PDK Dalat), Taska Sedidik, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE Dalat), dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK Dalat) yang bakal ditubuhkan,” ujarnya.
Justeru, kata Fatimah, ia boleh menyemai nilai-nilai empati, kasih sayang, simpati dan prihatin antara satu sama lain.
“Ia akan menempatakan pelbagai generasi atau usia di bawah satu bumbung dan seterusnya mengikis ‘jarak(gap) antara generasi.
“Biasanya orang lebih dewasa akan mempunyai perasaan kasih sayang apabila melihat kanak-kanak, dan sementara yang lebih muda juga menghormati dan juga sayang terhadap orang yang lebih berumur.
“Senario itu diharapkan boleh dijadikan sebagai terapi buat mereka, dan juga mencetuskan interaksi yang boleh memanfaatkan mereka semua atau warga KKD,” ujarnya.
Tambah Fatimah, perasaan atau nilai-nilai kebersamaaan itu akan juga wujud dengan sendirinya kerana KKD juga mempunyai pelbagai kemudahan yang boleh menjurus ke arah itu.
“Di sini ada courtyard (halaman berpagar) dengan kawasan tanah yang luas untuk berkebun dan taman mini yang boleh dijadikan sebagai terapi untuk warganya.
“Selain itu, ia juga mempunyai kemudahan seperti dewan serbaguna, gymnasium dan beberapa lagi untuk kegunaan bersama. Justeru, ia secara langsung juga boleh menyemai semangat kebersamaan dikalangan warga KKD,” ujarnya lagi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat (ADUN) berkata demikian kepada media ketika melawat KKD di sini, semalam.
Dalam masa yang sama, kata Fatimah, kewujudan Taska Sedidik untuk anak-anak juga adalah satu kemudahan yang amat diperlukan oleh ibu bapa yang bekerja.
“Kemudahan Taska ini bukan hanya akan memanfaatkan anak-anak staf di KKD dan malah juga yang di luar sana, seperti guru-guru dan sebagainya. Kesimpulannya, ia bukan hanya menyediakan kemudahan yang kondusif, selamat, berkualiti, fondasi yang kuat, nilai-nilai murni dan malah juga awal literasi untuk masa depan,” tambahnya.
Projek yang berada kira-kira satu kilometer dari Pekan Dalat dan menelan kos RM12,558,911 itu sudah siap sepenuhnya.
Justeru, Fatimah mengharapkan JKM Dalat dan organisasi terbabit sudah mulai membuat perancangan dan persediaan yang sewajarnya mulai daripada sekarang untuk berpindah ke sana.
“Dengan init saya ingin menasihi JKM Dalat dan pihak lain yang akan berpindah di sini sudah boleh membuat persediaan dan prancangan yang rapi mulai daripada hari ini. Ini adalah projek semasa Tok Nan dan beliau tetap dalam kenangan kita semua,” ujarnya.
Oleh HENRY B SIYU