Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Saintis Vietnam hasilkan makanan tambahan kesihatan daripada kulit kacang hijau
  • GLOBAL

Saintis Vietnam hasilkan makanan tambahan kesihatan daripada kulit kacang hijau

Utusan Sarawak 6 hours ago
KAJIAN tentang pengekstrakan vitexin daripada sekam kacang hijau menyumbang kepada peningkatan keberkesanan rawatan diabetes. Foto AGENSI

PHNOM PENH: Saintis Vietnam berjaya menjadikan kulit kacang hijau yang lazimnya dibuang kepada bahan semula jadi bernilai tinggi yang berpotensi digunakan dalam pembangunan makanan tambahan kesihatan untuk membantu pengurusan diabetes.

Penyelidik di Akademi Sains dan Teknologi Vietnam (VAST) mengekstrak “vitexin”, iaitu sebatian tumbuhan yang terdapat dalam kulit kacang hijau, sebelum menukarkannya kepada “nanovitexin”, bahan mentah berasaskan teknologi nano yang direka untuk meningkatkan kadar penyerapan dalam badan.

Menurut penyelidik, “nanovitexin” berpotensi membantu mengawal paras gula dalam darah serta menawarkan manfaat terapeutik yang lebih baik berbanding formulasi “vitexin” konvensional.

“Sistem formulasi berasaskan nano mampu meningkatkan kadar penyerapan sebatian yang sukar larut, memperkukuh kestabilan dalam pelbagai keadaan persekitaran serta meningkatkan keberkesanan farmakologi,” kata ketua pasukan penyelidik, Dr Ngo Thi Hoai Thu dari Institut Biologi VAST, lapor Vietnam News.

Kacang hijau (Vigna radiata) ditanam secara meluas di kawasan beriklim tropika dan banyak digunakan di negara Asia sebagai bahan makanan serta dalam perubatan tradisional.

Menurut pakar kesihatan, kekacang hijau kaya dengan pelbagai nutrien seimbang seperti serat, protein, vitamin dan mineral.

Sejak 2022, saintis di akademi berkenaan menjalankan kajian menggunakan nanoteknologi bagi menghasilkan “vitexin” dalam bentuk zarah nano untuk dijadikan makanan tambahan kesihatan.

Menurut laman sesawang VAST yang berpangkalan di Hanoi, penyelidik Vietnam yakin bahan itu mampu menjadi satu penemuan penting dalam bidang makanan kesihatan, khususnya bagi pesakit diabetes.

Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) menganggarkan kira-kira 589 juta orang dewasa menghidap diabetes, manakala 3.4 juta kematian direkodkan akibat penyakit itu pada 2024.

Menurut IDF, tiga daripada setiap empat pesakit diabetes dewasa berasal dari negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Diabetes ialah penyakit kronik yang berlaku apabila pankreas tidak menghasilkan insulin yang mencukupi atau apabila badan tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan dengan berkesan, menyebabkan paras gula dalam darah meningkat.- Bernama

Continue Reading

Previous: Pekerja Piala Dunia maut dilanggar ketika berjalan pulang dari Stadium SoFi
Next: Serangan di sekolah Tacloban dirancang lebih sebulan – Polis

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.