
BINTANGOR: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes pecah rumah kebun dan mencuri buah sawit dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan Jalan Sungai Mador.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong sekitar 12.30 tengah hari pada 20 Jun lalu.
Katanya, tangkapan tersebut dibuat susulan laporan kehilangan yang diterima polis membabitkan kes pecah rumah kebun dan kecurian buah sawit yang direkodkan di bawah laporan Bintangor/Rpt/1291/2026.
“Hasil pemeriksaan di tempat suspek ditangkap telah menjumpai beberapa guni baja sawit, tong racun dan beberapa tandan buah sawit sebagaimana yang telah dilaporkan hilang.
“Rampasan kemudian dibawa balik ke IPD Meradong untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media pada malam tadi.
Tansli berkata, pihak polis turut menjalankan saringan air kencing terhadap suspek bagi membantu siasatan.
“Saringan urin ke atas suspek telah dibuat dan didapati positif dadah,” katanya.
Tambahnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Suspek kini di reman dan disiasat di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum dengan penjara boleh sampai 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Katanya, pihak polis memandang serius kes jenayah harta benda yang menjejaskan pendapatan dan sumber rezeki masyarakat.
“Pihak polis khususnya IPD Meradong menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah dan menyeru kepada orang ramai agar memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti jenayah bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Oleh Earl Anek