
KUCHING: Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika berurusan dengan platform pelaburan dan perdagangan dalam talian susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes kerugian melibatkan pengguna.
Pembantu khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong, berkata peringatan itu dibuat selepas beliau menerima aduan daripada seorang individu yang mendakwa mengalami kerugian besar melalui sebuah platform perdagangan dalam talian dikenali sebagai Fintana.
Menurutnya, individu berkenaan yang dirujuk sebagai Mr Ngo bagi melindungi identiti, mula mengenali platform tersebut melalui iklan dalam talian yang menawarkan peluang pelaburan dan perdagangan.
“Mr Ngo kemudian membuka akaun dan dimaklumkan bahawa platform itu menggunakan strategi dagangan berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain menyediakan broker untuk membimbing urusan perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Kong berkata pada peringkat awal, Mr Ngo memperoleh keuntungan daripada platform berkenaan, yang kemudiannya mendorongnya untuk terus melabur dan aktif berdagang.
Beliau turut memaklumkan bahawa Mr Ngo dibimbing setiap hari oleh broker melalui panggilan Zoom ketika pasaran dibuka, dengan pelbagai cadangan strategi dagangan diberikan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa platform tersebut membenarkan dagangan berleveraj sehingga 1:400, yang membawa risiko tinggi dan boleh mengakibatkan kerugian besar walaupun berlaku perubahan kecil dalam pasaran.
Menurutnya, keadaan mula mencetuskan kebimbangan apabila dagangan yang disyorkan broker tersebut mula mengalami kerugian besar.
“Bagi mengehadkan kerugian, beliau mengaktifkan hentian rugi (stop loss) dan memutuskan untuk keluar daripada dagangan tersebut. Namun, broker berkenaan didakwa memarahinya serta menuduh beliau menjejaskan strategi dan kedudukan dagangan mereka,” katanya.
Kong berkata insiden itu menimbulkan rasa tidak selesa kepada Mr Ngo, yang berpendapat bahawa pelabur seharusnya bebas membuat keputusan sendiri untuk keluar atau memasuki pasaran bagi menguruskan risiko.
Selepas kejadian itu, broker terbabit didakwa meneruskan dagangan yang menyebabkan kerugian berterusan, selain menggalakkan Mr Ngo menambah deposit bagi meneruskan strategi purata kos terhadap posisi yang rugi.
Kong berkata Mr Ngo kini bimbang berhubung kemungkinan tuntutan kerugian dagangan pada masa depan, memandangkan penggunaan leveraj yang sangat tinggi dalam platform berkenaan.
“Sekiranya perkara itu berlaku, saya akan membantu beliau sedaya upaya yang saya mampu,” katanya.
Beliau berkata Mr Ngo berkongsi pengalaman tersebut bukan untuk mendapatkan semula kerugian, sebaliknya sebagai peringatan kepada orang ramai mengenai risiko pelaburan dalam talian.
Kong menambah bahawa Mr Ngo sendiri mengakui kemungkinan berlaku kesilapan pertimbangan apabila terlalu cepat mempercayai platform tersebut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjalankan semakan dan penelitian sewajarnya sebelum melaburkan wang atau menyertai mana-mana skim pelaburan, termasuk memastikan platform berkenaan berlesen dan dikawal selia oleh pihak berkuasa kewangan berkaitan.
“Orang ramai juga perlu berhati-hati terhadap platform atau broker yang menggalakkan penggunaan leveraj berlebihan dan mendesak pelabur menambah dana.
“Saya berharap pengalaman Mr Ngo menjadi peringatan penting supaya orang ramai sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab sebelum melaburkan simpanan hasil titik peluh sendiri ke dalam mana-mana platform dalam talian,” katanya.
Oleh Connie Chieng