
VANCOUVER, Kanada: Mesir mencipta sejarah apabila mencatat kemenangan pertama mereka dalam saingan Piala Dunia selepas menewaskan New Zealand 3-1 dalam perlawanan Kumpulan G di Vancouver sebentar tadi, sekali gus mencerahkan peluang mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama.
Mohamed Salah, Mostafa Zico dan Trezeguet muncul penjaring Mesir, manakala New Zealand terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Finn Surman pada minit ke-15.
Kemenangan itu meletakkan Mesir di tangga teratas Kumpulan G dengan empat mata dan hanya memerlukan keputusan seri menentang Iran di Seattle pada Jumaat (Sabtu pagi waktu Malaysia) untuk mengesahkan tempat ke pusingan 32 terakhir.
Salah menyamakan kedudukan pada minit ke-67 selepas melakukan gerakan satu-dua bersama Zico — yang dinamakan sempena legenda bola sepak Brazil, Zico — sebelum melepaskan rembatan lencong kaki kiri yang menewaskan penjaga gol lawan.
Kapten Mesir itu kemudian mencipta peluang gol ketiga apabila hantaran beliau disudahkan pemain gantian, Trezeguet — yang dinamakan sempena bekas penyerang Perancis, David Trezeguet — menerusi tandukan rendah yang memastikan kemenangan pasukannya.

“Beberapa tahun dari sekarang, kita akan mengingati kejayaan ini sebagai salah satu pencapaian bersejarah,” kata Salah.
Beliau turut memuji sokongan padu penyokong Mesir yang hadir ke stadium.
“Rasanya seperti kami bermain di Mesir. Ia satu kemenangan yang hebat dan suasana yang luar biasa,” katanya.
Mesir sebelum itu ketinggalan apabila Surman menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan tinggi pada minit ke-15.
Bagaimanapun, Mostafa Zico berjaya menyamakan kedudukan apabila menanduk masuk hantaran lintang Mohamed Hany.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan G, Belgium dan Iran terikat tanpa jaringan.
Belgium dijadual berdepan New Zealand di Vancouver pada Jumaat ini (Sabtu pagi waktu Malaysia). — AFP