Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Penyelenggaraan pesawat tidak sama seperti kereta
  • KOLUMNIS

Penyelenggaraan pesawat tidak sama seperti kereta

Utusan Sarawak 12 hours ago

APABILA sesebuah penerbangan berlepas tepat mengikut jadual, penumpang biasanya menganggap semuanya berjalan seperti biasa. Mereka daftar masuk, serah bagasi, tunggu di pintu pelepasan, naik pesawat, terbang ke destinasi dan turun semula untuk meneruskan urusan masing-masing.

Namun selagi perjalanan lancar, jarang sekali timbul persoalan tentang bagaimana pesawat itu dipilih, disediakan dan disahkan selamat sebelum meninggalkan darat.

Mungkin bagi kebanyakan penumpang, semua itu dianggap sebagai sebahagian daripada tugas juruterbang atau rutin operasi yang tidak perlu difikirkan.

Hakikatnya, perkara ini sesuatu yang menarik kerana terdapat satu rangkaian perancangan yang sangat teliti. Sebuah pesawat tidak dimasukkan ke dalam jadual semata-mata kerana ia berada di lapangan terbang.

Akan tetapi, ia hanya boleh digunakan apabila status teknikalnya masih berada dalam had yang dibenarkan, kerja-kerja pemeriksaan yang diperlukan telah dipenuhi, rekod penyelenggaraannya lengkap dan pesawat itu disahkan layak untuk beroperasi.

Keadaan ini menunjukkan bahawa penyelenggaraan bukan sekadar kerja membaiki pesawat apabila berlaku kerosakan. Ia merupakan sebahagian daripada perancangan operasi harian.

Sebelum sebuah pesawat diberi tugasan untuk terbang dari satu bandar ke bandar lain, syarikat perlu memastikan pesawat itu mempunyai baki jam penerbangan, baki kitaran dan baki tempoh kalendar yang mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan jadual tanpa melanggar mana-mana had penyelenggaraan.

Di sinilah peranan bahagian perancang penyelenggaraan menjadi sangat penting. Mereka bukan hanya melihat sama ada pesawat boleh terbang pada masa itu. Mereka turut menilai sama ada pesawat tersebut mampu menyempurnakan seluruh rangkaian penerbangan yang diberikan kepadanya atau tidak.

PENYELENGGARAAN pesawat. Kredit foto Aero Malaysian Engineering Centre.

Sebuah pesawat mungkin kelihatan tersedia pada waktu pagi, tetapi jika baki had penyelenggaraannya terlalu hampir, ia tidak boleh digunakan secara sembarangan untuk banyak sektor sepanjang hari. Jadi ia perlu disusun secara strategik agar jadual penerbangan tidak terganggu yang boleh menyebabkan pembatalan atau penundaan waktu.

Di Malaysia, setiap pesawat wajib mempunyai jadual penyelenggaraan berdasarkan program yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia. Program ini menetapkan bila sesuatu pemeriksaan, penukaran, pengujian atau pembaikan perlu dilakukan.

Ada kerja yang ditentukan berdasarkan jam penerbangan. Ada yang bergantung kepada kitaran penerbangan. Ada pula yang terikat kepada tempoh kalendar seperti hari, minggu, bulan atau tahun. Hal ini bermakna, pesawat yang tidak banyak terbang pun tetap boleh mencapai tarikh pemeriksaan tertentu.

Jam penerbangan merujuk kepada tempoh pesawat digunakan dalam operasi penerbangan. Kitaran penerbangan pula lazimnya dikira sebagai satu kali berlepas dan satu kali mendarat. Perbezaan ini penting kerana kesan penggunaan terhadap pesawat tidak semuanya sama.

Sebuah pesawat yang melakukan satu penerbangan jarak jauh mungkin mengumpul lapan jam penerbangan tetapi hanya satu kitaran. Sebaliknya, pesawat yang melakukan lapan penerbangan pendek mungkin mencatat jam penerbangan yang lebih rendah, tetapi merekodkan lapan kitaran.

Keadaan ini sangat ketara pada pesawat turboprop seperti ATR 72-500 yang lazim digunakan untuk laluan pendek dan sederhana. Pesawat seperti ini sesuai menghubungkan bandar-bandar, kawasan pedalaman, destinasi domestik dan lapangan terbang yang tidak memerlukan pesawat jet bersaiz besar.

Namun kerana sifat operasinya yang kerap berlepas dan mendarat, jumlah kitarannya boleh meningkat dengan cepat. Setiap kitaran memberi tekanan tambahan kepada komponen seperti alat pendaratan, tayar, brek, pintu, struktur tertentu dan sistem hidraulik.

Justeru, pemeriksaan bagi komponen‑komponen ini memerlukan perhatian yang lebih kerap dan teliti bagi memastikan ia masih berada dalam had keselamatan yang ditetapkan. Oleh itu, ada kemungkinan juga penemuan kerosakan pada komponen-komponen ini.

KERJA penyelenggaraan pesawat amat penting.

Selain jam dan kitaran, had kalendar juga tidak boleh diabaikan. Peralatan kecemasan, bateri, pemadam api, jaket keselamatan, kit perubatan, sistem oksigen dan beberapa komponen lain mempunyai tempoh pemeriksaan atau tarikh luput masing-masing.

Masa tetap berjalan walaupun pesawat berada di apron. Oleh sebab itu, penyelenggaraan pesawat tidak hanya melihat berapa lama pesawat berada di udara, tetapi juga berapa lama sesuatu komponen telah berada dalam perkhidmatan.

Perancang penyelenggaraan perlu melihat pesawat sebagai satu sistem yang mempunyai banyak had serentak. Mungkin pemeriksaan utama pesawat masih belum matang, tetapi satu komponen tertentu sudah hampir sampai had gantian.

Mungkin struktur pesawat masih mempunyai baki kitaran yang mencukupi, tetapi peralatan keselamatan tertentu perlu diperiksa kerana sudah sampai tempoh kalendar.

Semua maklumat ini perlu dipantau sebelum pesawat diberikan jadual operasi yang baharu.

Dalam penyelenggaraan berjadual, perancangan boleh dibuat lebih awal. Jika sebuah pesawat semakin hampir kepada pemeriksaan berdasarkan jam penerbangan, ia mungkin tidak lagi diberi jadual yang terlalu padat.

Pesawat itu boleh disusun supaya melakukan sektor yang lebih sesuai atau diatur agar berakhir di pangkalan yang mempunyai jurutera, alat ganti dan kemudahan yang diperlukan.

Hal ini memungkinkan pemeriksaan boleh dibuat ketika pesawat bermalam supaya ia kembali tersedia pada keesokan harinya.

Perancangan seperti ini memerlukan kerjasama rapat antara bahagian operasi dan bahagian penyelenggaraan. Bahagian operasi mahu memastikan jadual penerbangan dipenuhi, pesawat digunakan secara optimum dan penumpang tiba mengikut masa.

Bagi bahagian penyelenggaraan pula memastikan setiap pesawat tidak melepasi had teknikal dengan tidak mengabaikan pemeriksaan wajib dan tidak beroperasi dalam keadaan yang meragukan. Keseimbangan inilah yang biasanya tidak kelihatan kepada penumpang.

Destinasi akhir sesebuah pesawat pada penghujung hari juga bukan perkara kecil. Sebuah pesawat yang berlepas dari Kuching pada waktu pagi mungkin meneruskan beberapa penerbangan lain sebelum bermalam di Miri atau pangkalan lain.

Penentuan tempat pesawat bermalam dirancang supaya ia berada di lokasi yang sesuai untuk pemeriksaan, pembaikan kecil, pengisian semula peralatan atau persediaan operasi hari berikutnya.

Dari luar, susunan ini mungkin kelihatan biasa. Dari sudut operasi, ia adalah sebahagian daripada strategi mengekalkan kelancaran jadual penerbangan.

Namun operasi penerbangan tidak selalu berjalan mengikut rancangan. Penyelenggaraan tidak berjadual boleh berlaku apabila terdapat kerosakan, ada bacaan sistem yang tidak normal, ada laporan daripada juruterbang, kebocoran bendalir, masalah tayar atau brek, kerosakan lampu, isu avionik atau keadaan yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Ada juga situasi yang berpunca daripada faktor luaran seperti perlanggaran burung, cuaca buruk atau hentakan kuat ketika pendaratan yang memerlukan pemeriksaan tambahan sebelum pesawat dibenarkan terbang semula.

Namun, tidak semua isu teknikal memerlukan pesawat dikeluarkan daripada operasi untuk tempoh yang panjang. Sesetengah masalah kecil boleh diselesaikan dengan cepat seperti penggantian lampu, semakan rekod teknikal atau pemeriksaan visual.

Terdapat juga keadaan tertentu yang membenarkan sesetengah item ditangguhkan pembaikannya, asalkan ia mematuhi prosedur yang diluluskan dan tidak menjejaskan keselamatan penerbangan.

Namun jika isu tersebut melibatkan sistem penting, bahagian struktur pesawat, enjin, brek, alat pendaratan atau apa‑apa bacaan yang meragukan, pesawat tidak akan dibenarkan beroperasi sehingga pemeriksaan dan pembaikan diselesaikan sepenuhnya.

Hal ini menjadi cabaran menjadi lebih besar apabila syarikat mengendalikan bilangan pesawat yang kecil. Jika sebuah pesawat perlu dikeluarkan daripada jadual, pilihan untuk menggantikannya mungkin terhad.

Satu gangguan teknikal boleh menjejaskan beberapa penerbangan selepas itu kerana pesawat yang sama mungkin dijadualkan melakukan banyak sektor dalam sehari.

Akibatnya, penumpang di destinasi lain turut boleh terkesan walaupun masalah sebenar berlaku di lokasi berbeza.

Oleh itu, bagi penumpang, kelewatan sering dilihat sebagai kegagalan operasi. Perasaan kecewa itu boleh difahami, terutama jika mereka mempunyai urusan keluarga, rawatan kesihatan, mesyuarat atau sambungan penerbangan.

Namun dari sudut keselamatan, penerbangan yang ditangguhkan kerana pemeriksaan teknikal tidak semestinya menunjukkan kelemahan sistem. Dalam banyak keadaan, ia membuktikan bahawa sistem keselamatan sedang berfungsi seperti yang sepatutnya.

Penyelenggaraan pesawat tidak sama seperti kenderaan darat. Bagi sesetengah pemandu kereta, tarikh atau jarak perjalanan untuk servis boleh sahaja diabaikan, selagi kenderaan masih bergerak dan dirasakan selamat, ia terus digunakan tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Dalam dunia penerbangan, pendekatan sebegitu tidak boleh diterima sama sekali.

Oleh itu, apabila perjalanan penerbangan anda lancar, hargailah usaha mereka yang bertungkus lumus di belakang tabir untuk memastikan semuanya berjalan selamat dan teratur.

Jika berlaku sebaliknya, ingatlah bahawa langkah pencegahan sentiasa lebih baik daripada berdepan risiko yang tidak diingini.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Perjanjian damai Amerika-Iran legakan dunia, Malaysia turut manfaat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.