LONDON: Manchester United melengkapkan perpindahan pemain tengah Brighton, Carlos Baleba, dalam satu perjanjian bernilai £70 juta (AS$95 juta), menurut laporan PA Media/dpa.
Selepas berjaya kembali ke Liga Juara-Juara setelah meraih tempat ketiga musim lalu, tumpuan kini pada memperkukuh bahagian tengah pasukan kendalian Michael Carrick itu menjelang kempen baharu Liga Perdana Inggeris.
Manchester United menyaksikan pemergian pemain berpengaruh Casemiro dan kecederaan lutut serius dialami Manuel Ugarte pada musim panas lepas yang turut menyaksikan ketibaan Andrey Santos dan Youri Tielemans, masing-masing daripada Chelsea dan Aston Villa.
Baleba menjadi pemain Liga Perdana ketiga yang menguatkan bahagian tengah ‘The Red Devils’ selepas menandatangani kontrak lima tahun, dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh selama 12 bulan lagi, susulan persetujuan perjanjian bernilai £65 juta berserta tambahan £5 juta dan klausa penjualan masa hadapan bersama Brighton.
“Satu perasaan yang luar biasa dapat menyertai kelab impian saya. Beraksi di Old Trafford sentiasa istimewa, namun peluang untuk melakukannya sebagai pemain Manchester United merupakan satu penghormatan besar,” kata pemain antarabangsa Cameroon itu.
“Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Michael Carrick. Pengalaman dan pengetahuan beliau dalam sukan ini menjadikan beliau jurulatih yang tepat untuk membantu saya mencapai tahap tertinggi.
“Cita-cita semua pihak di kelab ini sangat jelas, masa depan yang mengujakan, dan saya bertekad untuk memainkan peranan dalam mencapai kejayaan yang mampu kami raih bersama.”
United sebelum ini pernah cuba mendapatkan Baleba pada musim panas lalu namun menghentikan usaha itu apabila Brighton menegaskan bahawa pemain tersebut tidak akan dilepaskan.
Pemain berusia 22 tahun itu tidak mempamerkan prestasi terbaiknya pada musim lepas namun hal itu tidak mematahkan semangat kelab dari Old Trafford tersebut, malah mereka meningkatkan usaha untuk mendapatkannya seminggu yang lepas.
Pengarah bola sepak United, Jason Wilcox, berkata: “Carlos ialah pemain tengah bertaraf elit yang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang. Beliau membawa kombinasi kualiti unik yang benar-benar akan melengkapkan skuad kami.
“Kami gembira dapat memantapkan lagi bahagian tengah kami dengan kehadiran seorang lagi pemain antarabangsa senior yang mantap serta mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam Liga Perdana Inggeris.
“Tekad Carlos untuk menyertai Manchester United dan keyakinannya bahawa kami akan mencapai cita-cita bersama menjadikan beliau pemain paling tepat untuk ditandatangani, memandangkan kami terus membina pasukan yang dinamik dan mengujakan, serta bersedia untuk bersaing dalam pelbagai kejohanan.”
Pengarah sukan Brighton, Mike Cave, berkata: “Carlos telah memberikan sumbangan besar sepanjang tempohnya bersama kami, dan kami telah menyaksikan perkembangannya sebagai pemain serta individu di sini.
“Ini iaah perpindahan yang sangat diingini Carlos, dan kami menghormati keputusannya untuk merebut peluang ini pada peringkat kerjayanya sekarang.”
Ketibaan Baleba disambut baik oleh ramai pihak yang mempunyai kaitan dengan United, termasuk penjaring gol terbanyak sepanjang zaman kelab itu, Wayne Rooney.
“Saya sangat menyukainya (Baleba); saya rasa ia satu pembelian yang sangat bagus,” kata bekas kapten England itu dalam siniar ‘Stick to United with Wayne Rooney’ di Disney+.
“Kami memerlukan seorang lagi pemain tengah yang mempunyai kekuatan fizikal, dan saya tahu beliau tidaklah setinggi enam kaki empat inci atau sebagainya.
“Tetapi beliau sangat tangkas bergerak di seluruh padang, agresif, bijak menguasai bola, dan itulah yang kami perlukan. Beliau pemain yang sangat bagus dan akan meningkatkan kualiti pasukan dengan ketara.
“Situasi ini akan menjadi menarik dengan adanya Tielemans, Santos, dan (Kobbie) Mainoo, namun inilah perkara yang sepatutnya berlaku. Persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan. Jika anda tidak bermain dengan baik, anda tidak akan diturunkan.” – Bernama





