ADA beberapa faktor yang mendorong kepada kemungkinan besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan sebelum akhir tahun ini.
Pertama: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dikatakan diadakan seawal Oktober ini terutama bagi membentangkan Bajet 2027. Ini bagi membolehkan persediaan belanjawan pengurusan dan pembangunan untuk tahun depan bagi mengelak kesuntukan masa jika diadakan pada Disember.
Ini membuka spekulasi kebarangkalian PRN diadakan pada November, namun belum ada pengesahan rasmi mengenai tarikh sebenar di sebalik tersebar meluas di sosial media sidang DUN mungkin diawalkan daripada kebiasaan pada November atau awal Disember
Kedua: PRN sukar diadakan pada Januari atau Februari 2027 (tempoh DUN sekarang akan berakhir 14 Februari 2027). Tahun Baharu Cina 2027 disambut pada Sabtu, 6 Februari 2027. Awal Ramadan 2027 pula dijangka bermula pada Isnin, 8 Februari, manakala Hari Raya (1 Syawal) dijangka pada Rabu, 10 Mac 2027.
Ketiga: 17 kerusi baharu DUN dijangka mengambil masa untuk diproses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan peluang untuk menggunakannya pada PRN nanti agak tipis, memandangkan DUN perlu dibubarkan sebelum mandatnya berakhir pada 14 Februari 2027.
Ini kerana SPR dikatakan sibuk dengan dua PRN sebelum ini – Johor dan Negeri Sembilan, dan selepas ini PRN Melaka kerana mandat DUN Melaka akan berakhir 27 Disember ini. Selepas itu, SPR dijangka membuat persediaan untuk pilihan raya umum ke-16 (PRU16) sebelum mandat Kerajaan Perpaduan berakhir Disember 2027, dan kemungkinan diadakan lebih awal. Jadi, tidak perlu terlalu mengharapkan untuk menggunakan 17 kerusi baharu itu.
Keempat: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026, inisiatif kebajikan oleh kerajaan Sarawak yang mula diperkenalkan sekitar 2020 ketika pandemik Covid-19, akan berakhir di Kuching pada 20 hingga 22 November di Metrocity, Matang. Ia digerakkan di semua 12 bahagian sejak 10 April lalu bermula di Limbang.
Ia bukan program politik tetapi apabila SKS berakhir November, sekali gus membuka spekulasi PRN sudah hampir atau sedang berlangsung kerana temponya ada persamaan pada program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) seperti sebelum PRN Disember 2021.
Kelima: Semua Pegawai Daerah (DO) dan Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) dari seluruh negeri yang juga selaku Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO- Returning Officer)/Penolong Pegawai Pengurus, sudah selesai diberi taklimat oleh SPR di Kuching pada 5 Ogos lalu.

Difaham, cuma kakitangan pembantu di pusat penamaan calon/pusat mengundi belum diberi taklimat akhir secara menyeluruh tetapi tidak akan bermasalah kerana kebanyakan mereka ada berpengalaman mengendalikan urusan pilihan raya sebelum ini seperti guru dan kakitangan awam. Mereka adalah kerani pengundian (polling clerk) dan ketua tempat mengundi (presiding officer).
Sesuaikah November untuk PRN?
Kalau pilihan raya hanya antara November 2026 atau menunggu lebih lewat ke Disember 2026/awal 2027, November adalah pilihan yang lebih munasabah daripada Disember, kerana sekurang-kurangnya ia belum terlalu jauh memasuki musim monsun.
Tetapi jika mahu mencari bulan yang paling ideal dari segi cuaca, operasi sekolah dan mobiliti pengundi, tempoh lebih awal sebelum November lebih menarik.
November 2026 juga boleh dianggap sesuai dari sudut politik dan takwim sekolah, tetapi kurang ideal dari sudut cuaca/risiko banjir.
November adalah masih musim persekolahan, bukan cuti akhir tahun. Peperiksaan SPM 2026 bermula 23 November hingga 17 Disember.
Sebelum ini berlaku peralihan kalender akademik akibat Covid-19. Contohnya, untuk sesi 2025/2026, sekolah Sarawak masih bersekolah sehingga 19 Disember 2025, kemudian cuti akhir persekolahan bermula 20 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026.
Mulai 2026, KPM menyusun semula takwim supaya sesi persekolahan kembali kepada Januari hingga Disember. Maka, cuti akhir tahun kembali ke Disember, bukan November.
“Maka PRN sesuai diadakan pada November kerana Disember bulan cuti untuk kebanyakan ibu bapa termasuk YB nanti setelah letih berkempen,” kata pemerhati politik.
Di Sarawak, banyak sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman, digunakan sebagai tempat mengundi tetapi tidak menganggu waktu sekolah kerana lazimnya diadakan pada Sabtu atau Ahad jika PRN diadakan musim sekolah November.
Namun, yang lebih besar ialah risiko hujan dan banjir, kerana November memang permulaan Monsun Timur Laut, yang lazimnya berlangsung November hingga Mac. METMalaysia menyatakan monsun ini membawa hujan lebat khususnya ke barat Sarawak.
Memang November mempunyai beberapa risiko seperti hujan berterusan; banjir di kawasan rendah; jalan luar bandar terputus atau sukar dilalui; sungai melimpah; pengangkutan bot/4WD terganggu; perjalanan pengundi dari kawasan pedalaman menjadi lebih sukar dan risiko pusat mengundi terjejas.
Tetapi perlu dibezakan bahawa November bukan bermaksud seluruh Sarawak pasti banjir. Risiko sangat bergantung kepada lokasi dan episod hujan monsun.
PRN 2021 pun diadakan hujung tahun
Namun, ini bukan masalah besar kerana pilihan raya Sarawak 2021 juga diadakan ketika sekolah masih dalam sesi akademik (sebelum takwim sekolah diubah semula) dan musim tengkujuh.
Pada PRN lepas, DUN Sarawak dibubar berkuat kuasa 3 November 2021, hari penamaan calon 6 Disember dan pengundian 18 Disember 2021. Memang ketika itu musim hujan sehingga ada helikopter digunakan masa berkempen, membuat pendaratan kecemasan.

Sesuatu yang tidak boleh dilupakan PRN Sarawak ke-12 pada Disember 2021 berlangsung ialah ketika pandemik Covid-19 masih serius, dan keadaan itu memang menyebabkan gangguan besar terhadap kempen terutama kempen secara bersemuka.
Tempoh kempen hanya 12 hari, iaitu 6 hingga 17 Disember 2021. SPR memperkenalkan SOP khas Covid-19 yang diluluskan Kementerian Kesihatan pada 5 Disember 2021, sehari sebelum penamaan calon. SOP itu terpakai sepanjang proses pilihan raya termasuk kempen dan hari mengundi.
Bayangkan ceramah secara fizikal tidak dibenarkan di 18 daripada 82 DUN yang mempunyai capaian internet lebih baik.
Calon terpaksa menggunakan Facebook, video, kod QR, poster, banner dan kempen dalam talian. Malah calon GPS di kawasan bandar turut beralih kepada kaedah digital.
Di 64 DUN yang mempunyai capaian internet lemah, ceramah masih dibenarkan tetapi terhad kepada 50 peratus kapasiti premis atau maksimum 150 orang pada satu-satu masa.
Kehadiran ceramah juga terhad kepada penduduk kampung atau rumah panjang berkenaan. Calon dan hanya dua petugas parti dibenarkan mengedarkan risalah/bahan kempen di rumah panjang, dengan edaran terhad di hadapan rumah atau ruai.
Malah majlis sambutan atau keraian kemenangan selepas pilihan raya tidak dibenarkan. Aktiviti merentas daerah untuk tujuan kempen turut disekat kecuali lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding. Calon pula pada asasnya perlu kekal di kawasan sasaran masing-masing.
Hatta, Covid-19 ketika itu bukan sekadar latar belakang pilihan raya, tetapi secara langsung mengubah cara kempen dijalankan dan mengehadkan perhimpunan politik.
Pada 18 Disember 2026 ini, genap lima tahun DUN Sarawak ke-12 tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.
Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027 tetapi ramalan popular ialah pada November ini.
Isu bila nak adakan PRN ke-13, hanya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ada jawapannya.
Kita sama-sama ‘tunggu dan lihat’.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak





