PENGURUS Sarawak United FC (SUFC), Abang Suhordie Abang Zaini sekali lagi menegaskan tidak mahu terlalu mendabik dada selepas meraih kemenangan selepas menewaskan Kuching City FC (KCFC) malam Selasa lalu.
Tiga kemenangan berturut-turut katanya dalam aksi Liga Premier bukanlah pengukur kekuatan SUFC musim ini, sebaliknya mengakui masih banyak kelemahan yang harus di atasi skuad itu.
Menurutnya, kemenangan ini menyuntik semangat pemain untuk berdepan perlawanan seterusnya namun itu tidak bermakna para pemain perlu leka dan selesa.
Sebaliknya, tambah Abang Suhordie lagi, beliau mahu kesemua anak-anak buahnya mengekalkan momentum permainan dan tidak cepat berpuas hati selepas memenangi tiga perlawanan berturut-turut dalam kancah Liga Premier Malaysia musim ini.
“Saya menyifatkan perlawanan ‘derby’ menentang Kuching City FC sebagai satu perlawanan yang sangat sukar buat SUFC namun, dua gol dalam separuh masa pertama memberi keyakinan dan semangat kepada anak-buahnya untuk terus bertahan daripada serangan pihak lawan.
“Saya berpuas hati dengan persembahan barisan pemain setakat ini, yang mana gawang SUFC belum dibolosi selepas tiga perlawanan,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Walaupun mencatat kemenangan, Abang Suhordie melihat masih ada lagi kelemahan dan ia perlu di atasi sekiranya mereka berimpian untuk pergi lebih jauh.
“Namun, masih banyak kelemahan menghantui pasukan ini dan perkara ini dalam perhatian ketua jurulatih (E Elavarasan) untuk memperbetulkannya. Memang kemenangan dalam setiap perlawanan amat mustahak untuk kita mencongak hala tuju selepas ini.
“Saya turut mengingatkan pemain bahawa perjalanan liga baharu sahaja bermula tiga perlawanan dan mereka tidak harus leka dengan kemenangan itu. Perlawanan masih panjang dan mereka hendaklah sentiasa fokus dalam setiap perlawanan yang dilalui,” ujarnya.
Ketika ditanya adakah SUFC mampu menjadi pasukan pilihan musim ini, Abang Suhordie berkata, banyak lagi pasukan yang kuat dan mampu memberi cabaran dalam saingan Premier 2021.
SUFC musim ini menghimpunkan pemain ternama seperti Norshahrul Idlan Talaha, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli, S. Chanturu, D. Christie Jeyaseelan, Gopi Rizqi, S. Veenod, Tommy Mawat Bada, Taylor Regan, K. Ruben, Lee Chang Hoon dan Sandro Da Silva.
Aksi seterusnya SUFC nanti ialah akan menanti kunjungan Terengganu FC II di Stadium Hang Jebat Melaka, Ahad ini jam 9.00 malam.
Oleh ADI SAFARMAN