
KUCHING: Penganjuran Niti Daun sempena sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 bukan sahaja menjadi platform mempamerkan kepelbagaian budaya masyarakat Dayak, malah menyumbang kepada usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyertaan 114 pasukan melibatkan 99 kontinjen dan 15 kenderaan hiasan budaya yang membuktikan komitmen masyarakat Dayak dari seluruh Sarawak dalam memelihara serta mengetengahkan warisan budaya masing-masing.
“Edisi kali ini turut menyaksikan penyertaan beberapa kumpulan etnik yang jarang diketengahkan seperti Remun dan Tagal, sekali gus memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengenali kepelbagaian budaya yang terdapat di negeri ini.

“Kita menunjukkan bagaimana kaum Dayak yang terdiri daripada pelbagai etnik dari seluruh Sarawak bersatu hati dan bekerjasama bagi menjayakan program ini.
“Mereka datang dari kawasan yang jauh seperti Lawas dan Miri serta sanggup mengorbankan masa demi mempamerkan budaya dan tradisi masing-masing. Ini amat bermakna kepada masyarakat Malaysia,” katanya ketika ditemui media selepas perarakan Niti Daun di Tebingan Kuching, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak berharap rakyat Malaysia terus menghargai sumbangan masyarakat Dayak dalam memperkukuh perpaduan dan kesatuan negara.
Pemenang Pertandingan Niti Daun 2026:
- Kampung Gumbang – Juara Kenderaan Hiasan Budaya Terbaik
- Persatuan Wanita Kayan Sarawak – Juara Kontinjen Terbaik Orang Ulu
- DBNA Cawangan Samarahan – Juara Kontinjen Terbaik Bidayuh
- Kelab Belia Warisan Kreatif Taman Samarindah – Juara Kontinjen Terbaik Iban
Oleh Masrin Affirah