
BINTANGOR: Pendedahan awal mengenai aspek keselamatan kebakaran amat penting bagi membantu warga sekolah bertindak dengan betul dan tenang ketika berdepan situasi kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, usaha meningkatkan kesedaran keselamatan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan warga sekolah memahami langkah-langkah pencegahan kebakaran dan tindakan yang perlu diambil ketika berlaku kecemasan.
Katanya, seramai 62 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Papit telah menyertai program kesedaran keselamatan kebakaran pada semalam.

“Kesedaran mengenai keselamatan kebakaran perlu dipupuk secara berterusan bagi memastikan para murid dan pihak sekolah memahami risiko kebakaran serta mengetahui tindakan yang betul ketika berlakunya kecemasan.
“Program ini juga membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga sekolah dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, antara pengisian program ialah ceramah kesedaran keselamatan kebakaran yang memberi penekanan terhadap langkah pencegahan kebakaran dan aspek keselamatan diri.
“Peserta turut didedahkan dengan demonstrasi pemadaman kebakaran menggunakan alat pemadam api bagi memberi pemahaman yang lebih jelas mengenai kaedah penggunaannya.
“Pendedahan secara teori dan praktikal amat penting supaya peserta bukan sahaja memahami konsep keselamatan kebakaran, malah mampu bertindak dengan lebih yakin sekiranya berlaku kecemasan.
“Pengetahuan asas seperti penggunaan alat pemadam api boleh membantu mengawal kebakaran pada peringkat awal sebelum merebak menjadi lebih serius,” katanya.
Selain itu, katanya, pameran turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta mengenali pelbagai peralatan yang digunakan oleh anggota bomba semasa menjalankan operasi pemadaman kebakaran dan menyelamat.
Oleh Earl Anek