
KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) terus memperkukuh inisiatif pengumpulan minyak masak terpakai dengan memperluas rangkaian kepada 100 stesen pengumpulan di seluruh negara.
Menurut PDB, inisiatif itu bertujuan memudahkan orang ramai menukar sisa dapur kepada sumber pendapatan sampingan di samping menggalakkan pelupusan minyak masak terpakai melalui saluran yang betul.
“Minyak terpakai yang dikumpulkan akan diproses untuk kegunaan lanjut termasuk penghasilan bahan api alternatif,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Operasi PDB Azureen Azita Abdullah dalam kenyataan sama berkata sambutan yang diterima menunjukkan kesedaran masyarakat yang meningkat terhadap kepentingan pengurusan sisa secara bertanggungjawab.
“Sehingga Mac 2026, inisiatif pengumpulan minyak masak terpakai PDB telah berkembang ke 100 stesen di seluruh negara, dengan lebih 1.6 juta kilogram berjaya dikumpulkan.
“Inisiatif itu turut menjana pulangan kira-kira RM4.8 juta kepada lebih 560,000 peserta. Ini membuktikan amalan kecil di rumah mampu memberikan impak besar bukan sahaja kepada alam sekitar malah kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata minyak masak terpakai yang dikumpulkan berpotensi diolah menjadi bahan api yang lebih bersih untuk sektor penerbangan, termasuk bahan api penerbangan mampan (SAF).
“Ini menunjukkan bahawa sisa harian boleh diberi nilai baharu sebagai sebahagian daripada penyelesaian tenaga yang lebih lestari,” katanya. – Bernama