
FOXBOROUGH, Amerika Syarikat: Kapten Maghribi, Achraf Hakimi berada dalam keadaan ‘sangat tenang’ walaupun disahkan akan dibicarakan di Perancis atas tuduhan rogol, kata jurulatih kebangsaan Mohamed Ouahbi selepas kemenangan 1-0 ke atas Scotland.
“Dia baik-baik saja. Dia bangun pagi tadi, makan seperti pemain lain, bersiap untuk perlawanan dan memberi motivasi kepada semua orang,” kata Ouahbi mengenai pemain Paris Saint-Germain itu.
“Dia berada di bilik persalinan, fokus dan bertekad untuk memberikan persembahan besar. Dia melakukannya, jadi tiada apa-apa yang perlu diperkatakan. Kami berdiri di belakangnya, dan dia sangat tenang, langsung tidak terganggu.”
Hakimi, 27, berdepan dakwaan merogol seorang wanita berusia 24 tahun di kawasan Paris pada 2023, yang bagaimanapun dinafikannya.
Pemain pertahanan kanan terbaik Afrika itu turut kerap diejek oleh lebih 64,000 penonton di Stadium Gillette dekat Boston semasa perlawanan tersebut.

Kemenangan ke atas Scotland itu hadir selepas seri 1-1 dengan Brazil dalam aksi pembukaan Piala Dunia mereka minggu lalu, sekali gus mengumpul empat mata daripada dua perlawanan Kumpulan C.
Mereka seterusnya akan berdepan Haiti di Atlanta pada Rabu depan dalam usaha mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.
“Dia akan terus bermain perlawanan hebat. Dia adalah pertahanan kanan terbaik dunia dan dia akan membuktikannya di Piala Dunia ini,” tambah Ouahbi.
“Dia seorang yang sangat penting bagi saya, staf, pemain dan pasukan Maghribi.”
Ismael Saibari menjadi wira perlawanan Maghribi menentang Scotland dengan jaringan selepas hanya 71 saat, iaitu gol terpantas setakat ini di Piala Dunia tahun ini.
Ia merupakan gol kedua Saibari dalam kejohanan tersebut selepas turut menjaringkan gol menentang Brazil.
Bintang PSV Eindhoven kelahiran Sepanyol itu difahamkan hampir menyertai Bayern Munich dengan nilai perpindahan 55 juta euro (AS$63 juta).
“Sejak kecil saya bermimpi untuk bermain di Piala Dunia untuk negara saya,” katanya, sambil merendahkan anggapan bahawa beliau menjadi sensasi kejohanan setakat ini.
“Saya telah melakukannya, dan menjaringkan dua gol. Jadi saya sangat gembira, tetapi yang paling penting ialah layak dari kumpulan dan pergi sejauh mungkin.” – AFP