
KUCHING: Sarawak terus mencipta naratif baharu dalam landskap tenaga serantau apabila diiktiraf sebagai sebuah ‘kuasa petroelektrik’, sekali gus mengangkat negeri ini sebagai antara destinasi strategik dunia bagi pembangunan teknologi baharu dan peralihan tenaga masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar gelaran, sebaliknya mencerminkan kekuatan sebenar Sarawak yang kini berdiri kukuh dengan gabungan dua sumber utama iaitu tenaga boleh diperbaharui dan gas asli.

Menurut beliau, dunia sedang melalui perubahan besar dalam struktur tenaga global, daripada era arang batu dan enjin stim, kepada bahan api fosil, dan kini bergerak pantas ke arah tenaga bersih serta berasaskan elektrik.
“Sarawak memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang mampu menjana bekalan elektrik di samping kita juga mempunyai sumber gas yang menjadi sumber penting dalam penghasilan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan dan Perkhidmatan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), di sini, malam tadi.

Abang Johari menegaskan, jika negara pengeluar minyak di Asia Barat dikenali sebagai ‘negara pengeluar petroleum’, manakala negara maju seperti Jepun dan China pula dikategorikan sebagai ‘kuasa tenaga elektrik’, Sarawak kini berada dalam kelas tersendiri.
Katanya, gabungan kedua-dua kekuatan itu menjadikan Sarawak bukan sekadar peserta dalam transformasi tenaga dunia, tetapi antara peneraju awal yang membentuk masa depan tenaga mampan.
Lebih menarik, kelebihan tersebut turut menjadi tarikan kepada komuniti saintis antarabangsa apabila semakin ramai pakar luar negara hadir ke Sarawak bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, inovasi dan teknologi baharu.
Perkembangan itu sekali gus menandakan Sarawak kini bukan lagi sekadar negeri kaya sumber, tetapi sedang melangkah sebagai kuasa tenaga baharu yang semakin mendapat perhatian dunia.
Oleh Norman B