PERTEMBUNGAN Sarawak United FC (SUFC) dan Kuching City FC (KCFC) bakal menjadi antara pertembungan tumpuan minggu ini apabila kedua-dua pasukan bakal bertembung di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini (Selasa).
SUFC mempunyai rekod yang baik apabila masih mempertahankan rekod tanpa kalah dalam dua aksi berturut-turut sebelum ini, manakala KCFC hanya mencatatkan sekali seri dan kalah sekali.
Justeru itu, pertembungan E Elavarasan dan Irfan Bakti Abu Salim bakal bertembung sebagai seteru pada aksi malam ini, bakal menilai kemampuan taktikal kedua-dua pengendali itu, sekali gus perlawanan itu turut menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan di Sarawak.
Pengurus pasukan SUFC, Abang Suhordie Abang Zaini mengakui tugas sukar sedang menanti para pemainnya dan beliau menuntut mereka lebih bersedia daripada segi fizikal dan mental.
Bagaimanapun beliau tidak mahu mengambil mudah saingan yang bakal diberikan KCFC, dan tetap mahu mencari kemenangan mutlak bagi terus menghalang kemaraan pasukan lawan itu.
“Saya mengharapkan memontem kemenangan seperti dua perlawanan sebelum ini mampu diulangi, namun kita tetap menghormati pasukan KCFC dengan rekod yang baik dalam pertemuan dengan SUFC sebelum ini.
“Sebagai orang yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan dalam menjalankan tugas sebagai Pengurus Pasukan SUFC, saya tidak mahu terus mendabik dada dan cepat berpuas hati dengan keputusan dua kemenangan dalam perlawanan menentang Kelantan United dan Perak II baru-baru ini.
“Sebaliknya kita hanya mahu fokuskan kepada tiga mata penuh untuk diraih, kemenangan dalam perlawanan ini penting dalam usaha pasukan mengukuhkan kedudukan carta teratas Liga Perdana,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Abang Suhordie berkata beliau enggan memandang mudah terhadap KCFC kerana setiap lawan yang ditemui sentiasa memberikan kesukaran kepada anak-anak buahnya.
“Pemain kita perlu mempunyai mental yang kuat untuk menentang pasukan seperti KCFC.
“Itu antara perkara yang saya selalu ingatkan buat pemain-pemain kerana mental kita akan banyak mempengaruhi permainan kita dan permainan kita inilah yang akan menentukan gerakan taktikal dan strategi yang kita rancang itu berhasil.
“Dari segi persediaan, pasukan kita dilihat telah bersedia, walaupun ada beberapa pemain masih mempunyai sedikit kecederaan namun ianya tidak serius dan dapat diturunkan bagi perlawanan pada malam ini.
“Apa yang pasti pasukan kita akan turun menentang KCFC ini dengan semangat yang tinggi dalam misi untuk terus menggapai misi kemenangan, seterusnya untuk mendapatkan keputusan positif,” tegasnya.
Dalam pada itu, kata Abang Suhordie KCFC mempunyai beberapa pemain yang ternama yang pernah bermain dengan pasukan Sarawak FA sebelum ini seperti Joseph Kallang Tie, Mohd. Hairol Mokhtar, Ramesh Lai Ban Huat, Dzulazlan Ibrahim, Muhd. Iqbal Suhaimi, Jimmy Raymond, Mazwandi Zakeria, serta mempunyai pemain import yang berkualiti seperti Hudson Dias, Bryan Anicezio dan Aylton Alemao.
Manakala pasukan SUFC yang dikendalikan oleh E Elavarasan akan terus menyandarkan kudrat penyerang kebangsaan, Nurshahrul Idlan Talaha sebagai penggempur pasukan itu sambil dibantu oleh Sandro da Silva.
Oleh ADI SAFARMAN