Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Air mata, pengorbanan dan tekad bawa tiga pelajar raih PNGK 4.00 STPM
  • INSPIRASI

Air mata, pengorbanan dan tekad bawa tiga pelajar raih PNGK 4.00 STPM

Utusan Sarawak 8 hours ago
MUHAMMAD Amzarul Fikri Salleh dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh, Betong.

PETRA JAYA: Di sebalik kejayaan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025, tersimpan kisah pengorbanan, air mata dan perjuangan luar biasa tiga pelajar dari Sarawak yang hampir berputus asa sebelum akhirnya muncul sebagai antara calon cemerlang negeri ini.

Bagi Muhammad Amzarul Fikri Salleh dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh, Betong, kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya menjadi bukti bahawa kegagalan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan penamat kepada segala-galanya.

Anak keenam daripada tujuh beradik yang menetap di Kampung Bungin itu mengakui pernah mahu menyerah kalah seawal Semester 1 kerana merasakan dirinya tidak mampu bersaing.

Namun, sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa dan guru-guru mengubah persepsi tersebut sehingga mendorongnya untuk terus berjuang.

“Saya tidak pernah buat semua ini untuk diri sendiri. Saya buat untuk ibu bapa, guru-guru dan kerana Allah.

“Masa SPM dulu keputusan saya sangat teruk. Saya hampir putus asa tetapi ada seorang guru yang sentiasa yakinkan saya bahawa saya boleh berjaya,” katanya dalam nada sebak.

Menurutnya, rutin belajar dari pukul 9.00 malam hingga 4.00 pagi menjadi kebiasaan sepanjang tempoh pengajian Tingkatan Enam.

Lebih menyentuh hati, ibunya sanggup menemani dirinya mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam demi memastikan dia terus bersemangat.

“Saya tak pernah pergi tuisyen berbayar. Saya hanya bergantung kepada guru-guru yang ikhlas mengajar dan ibu bapa yang sentiasa menyokong.

“Bagi orang lain mungkin ini biasa, tetapi bagi saya ini pencapaian terbesar dalam hidup saya,” katanya sambil menahan tangis.

Selepas ini, beliau bercadang menyambung pengajian dalam bidang Sejarah di universiti.

VALENCIA Tajing dari SMK Saribas, Betong.

Sementara itu, Valencia Tajing dari SMK Saribas, Betong turut berkongsi kisah pengorbanan yang tidak kurang hebat apabila mengakui pernah terfikir untuk berhenti belajar kerana merasakan STPM terlalu mencabar.

Pelajar berusia 20 tahun itu berkata, kejayaan memperoleh PNGK 4.00 hadir selepas mengorbankan banyak masa, tenaga dan waktu tidur.

“Saya belajar sehingga 10 jam sehari. Bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah dan pada waktu subuh kerana ketika itu lebih mudah untuk memahami pelajaran,” katanya.

Menurut Valencia, subjek Pengajian Am merupakan antara cabaran terbesar yang perlu dihadapinya, khususnya bahagian yang melibatkan pengiraan.

Beliau berkata, kekangan masa menjadi cabaran utama kerana perlu mengikuti sesi pembelajaran yang padat di sekolah selain menyiapkan tugasan dan kerja kursus.

Anak kedua daripada tiga beradik itu turut mengakui pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti belajar kepada ibu bapanya.

Namun, kata-kata semangat daripada kedua-dua mereka menjadi pemangkin untuk terus bertahan sehingga mencapai kejayaan hari ini.

“Ayah saya bekerja sebagai buruh manakala ibu pula bekerja sebagai pembersih sekolah.

“Saya mahu ubah nasib keluarga saya. Saya mahu ibu bapa saya hidup lebih senang dan tidak perlu bekerja keras lagi,” katanya sambil menahan sebak.

Valencia kini sedang menunggu keputusan sesi temu duga bagi mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

FREDOLINE Rinai Felix Den dari SMK Merapok, Lawas.

Anak jati Lawas berbangsa Lun Bawang, Fredoline Rinai Felix Den dari SMK Merapok pula membuktikan bahawa cabaran capaian internet yang terhad bukan alasan untuk tidak berjaya.

Beliau yang turut memperoleh PNGK 4.00 berkata, perjalanan sepanjang Tingkatan Enam tidak pernah mudah kerana sering berdepan masalah mendapatkan maklumat pembelajaran secara dalam talian.

“Cabaran terbesar ialah capaian internet yang terhad. Kadang-kadang sukar untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi tujuan pembelajaran.

“Tetapi saya gunakan masa di rumah sebaik mungkin untuk mencari maklumat yang tidak sempat diperoleh di sekolah,” katanya.

Menurut Fredoline, beliau juga pernah berasa ragu-ragu terhadap kemampuannya sendiri apabila keputusan peperiksaan pada peringkat awal tidak begitu memberangsangkan.

Namun, sokongan berterusan daripada keluarga, khususnya ibunya, membantunya bangkit dan terus berusaha.

“Saya selalu rasa kurang yakin dan ragu-ragu, tetapi ibu sentiasa beritahu saya bahawa saya boleh berjaya dan jangan cepat mengalah,” katanya.

Beliau yang menjadikan dua kakaknya sebagai inspirasi kerana kecemerlangan mereka dalam akademik kini bercita-cita menjadi guru.

Malah, beliau telah menghadiri sesi temu duga bagi program Teaching English as a Second Language (TESL) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Samarahan.

Kisah tiga pelajar ini membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya milik mereka yang memiliki segala kemudahan, sebaliknya mampu diraih oleh sesiapa sahaja yang sanggup berusaha, berkorban dan tidak pernah berhenti percaya kepada diri sendiri.

Di sebalik angka PNGK 4.00 yang tertera pada slip keputusan, tersimpan pengorbanan ibu bapa, dedikasi guru-guru serta semangat luar biasa yang akhirnya membuahkan kejayaan membanggakan.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Belajar melalui YouTube, Afiq Julaihi hasilkan gitar sendiri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.