Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Empat lelaki ditahan, 15,000 liter diesel subsidi dirampas
  • JENAYAH

Empat lelaki ditahan, 15,000 liter diesel subsidi dirampas

Utusan Sarawak 8 hours ago
DIRAMPAS…Sebahagian daripada 15,000 liter minyak diesel bersubsidi, lori tangki dan peralatan yang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah premis di Tanjung Lobang, Miri, semalam.

MIRI: Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dipercayai beroperasi di sebuah rumah banglo di Tanjung Lobang di sini terbongkar selepas diserbu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, tengah hari semalam.

Dalam serbuan kira-kira 12.00 tengah hari itu, empat lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 52 tahun ditahan ketika dipercayai sedang menjalankan aktiviti pengumpulan dan penjualan minyak diesel bersubsidi kepada sindiket.

Ketua Polis Daerah Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek menyewa premis berkenaan dan menjadikan ruang di sebelah rumah sebagai pusat pengumpulan diesel bersubsidi.

Menurut beliau, diesel berkenaan dibeli oleh individu yang bertindak sebagai ‘runner’ dari beberapa stesen minyak di sekitar bandar raya Miri menggunakan tangki kenderaan persendirian serta tong simpanan sebelum dipindahkan ke tangki yang disediakan di premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui kira-kira 15,000 liter minyak diesel, sebuah lori tangki berkapasiti 16,000 liter, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) serta beberapa tangki dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyelewengan itu.

DIRAMPAS…Sebahagian daripada 15,000 liter minyak diesel bersubsidi, lori tangki dan peralatan yang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah premis di Tanjung Lobang, Miri, semalam.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM131,079,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Mohd Farhan berkata, kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan, malah mengganggu rantaian bekalan bahan api itu kepada pengguna tempatan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengusaha stesen minyak di Miri supaya tidak bersekongkol dengan sindiket berkenaan serta meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi kepada pihak polis dan KPDN.

Oleh Liong Chai Ling

Continue Reading

Previous: Lelaki diberkas selepas pecah masuk lima kedai
Next: Aktiviti dadah terbongkar, polis tahan dua lelaki dan rampas syabu 14.83 gram

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.