
ARLINGTON, Amerika Syarikat: Harry Kane menjaringkan dua gol pada babak pertama ketika England menewaskan Croatia 4-2 bagi memulakan cabaran memburu gelaran Piala Dunia dengan bergaya di Texas, awal pagi ini.
Jude Bellingham menjaringkan gol sejurus selepas rehat, sebelum pemain gantian Marcus Rashford menambah satu lagi jaringan lima minit sebelum tamat perlawanan untuk memastikan kemenangan skuad kendalian Thomas Tuchel selepas Croatia bangkit menyamakan kedudukan 2-2.
Kane yang prolifik meletakkan England di hadapan dua kali pada separuh masa pertama — termasuk satu menerusi sepakan penalti yang diambil semula — namun Martin Baturina dan Petar Musa menyamakan kedudukan buat Croatia, naib juara edisi 2018.
Dengan kedua-dua pasukan mempamerkan kelemahan di bahagian pertahanan, babak kedua menjanjikan lebih banyak gol dan Bellingham hanya memerlukan dua minit selepas wisel permulaan untuk mengembalikan kelebihan England di hadapan lebih 70,000 penonton.
England mempunyai beberapa peluang untuk melebarkan jurang jaringan sejurus selepas itu, namun gagal memanfaatkannya sebelum Rashford muncul menjaringkan gol keempat pasukan.
Pertemuan itu mengulangi separuh akhir Piala Dunia 2018 yang menyaksikan Croatia menang 2-1 selepas masa tambahan, namun England sejak itu lebih mendominasi pertemuan dengan salah satu skuad paling berusia dalam kejohanan di Amerika Utara.
Skuad bimbingan Tuchel, yang berazam menghadiahkan trofi utama pertama England sejak 1966, memulakan perlawanan dengan agak gugup di stadium tertutup milik Dallas Cowboys yang dilengkapi sistem penyaman udara.
Drama bermula apabila kapten Croatia, Luka Modric, menghulurkan kaki dan menjatuhkan Noni Madueke di dalam kotak penalti.
Kane menyaksikan sepakan penaltinya yang kurang meyakinkan diselamatkan Dominik Livakovic, namun pengadil Perancis, Clement Turpin, mengarahkan sepakan itu diambil semula selepas semakan video mendapati penjaga gol Croatia itu bergerak keluar dari garisan lebih awal.
Turpin, yang pernah melayangkan kad merah kepada Tuchel dalam saingan Liga Juara-Juara, turut menjadi tumpuan media England menjelang perlawanan tersebut.

Bellingham muncul penyelamat
Penyerang Bayern Munich itu tidak mensia-siakan peluang kedua apabila tenang menyempurnakan penalti dengan rembatan ke kiri Livakovic untuk meletakkan England di depan pada minit ke-12.
England kemudian menguasai permainan dan pemain tengah Real Madrid, Bellingham — yang diberi kepercayaan mengisi peranan nombor 10 mengatasi Morgan Rogers — hampir menambah jaringan, namun percubaannya berjaya diselamatkan Livakovic.
Sorakan tidak puas hati kedengaran ketika waktu rehat minuman diberikan meskipun perlawanan berlangsung di stadium berbumbung dan bukannya di bawah cuaca panas Texas.
Pada minit ke-30, England sepatutnya menggandakan kelebihan, namun Bellingham gagal menyentuh hantaran lintang rendah menarik daripada Madueke.
Enam minit kemudian, Croatia menyamakan kedudukan.
England kehilangan penguasaan bola di bahagian tengah sebelum Petar Sucic memperdayakan John Stones dengan gerakan kaki yang kemas untuk membuka ruang kepada Baturina.
Pemain berusia 23 tahun itu melakukan sentuhan pertama yang tepat sebelum melepaskan rembatan melepasi Jordan Pickford, meskipun penjaga gol England itu sempat menyentuh bola.
Namun, skuad kendalian Zlatko Dalic hanya sempat menikmati kedudukan seimbang selama enam minit apabila sepakan penjuru Declan Rice menemui Kane yang tidak dikawal sebelum kapten England itu menanduk masuk gol kedua peribadinya.

Jaringan tersebut menyaksikan Kane mengumpul 10 gol Piala Dunia, menyamai rekod Gary Lineker sebagai penjaring terbanyak England dalam kejohanan itu.
Walaupun begitu, Tuchel yang secara terbuka menyatakan sasaran untuk memenangi Piala Dunia, hampir tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Menutup aksi separuh masa pertama yang penuh dramatik, Musa memanfaatkan sekali lagi kelemahan pertahanan England pada minit kelima masa kecederaan untuk menyempurnakan peluang dari jarak dekat dan menjadikan kedudukan 2-2.
Babak kedua bermula seperti mana separuh masa pertama berakhir — dengan jaringan gol — apabila Bellingham melakukan larian tanpa dicabar di sebelah kanan sebelum menolak bola ke penjuru gawang.

Kane, Nico O’Reilly dan Bellingham masing-masing mempunyai peluang terbaik untuk menambah gol keempat ketika England terus mengasak kubu Croatia.
Namun, ketika baki 15 minit terakhir dan England mula memperlahankan rentak, Croatia memperoleh beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan sebelum Rashford memastikan tiga mata menjadi milik England menerusi gol keempat pasukan.— AFP